Skip to main
Logo Malaysiakini

'Kesesakan penjara masalah nombor satu dalam usaha perangi Covid-19'

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Masalah nombor satu dalam memerangi pandemik Covid-19 di Malaysia adalah kesesakan, kata senator DAP Liew Chin Tong.

Liew berkata demikian ketika negara mencatat kes harian tertinggi semalam iaitu 1,228 kes, dengan 502 daripadanya dari Kluster Penjara Kepayan.

"Seramai 2,160 penghuni penjara tersebut telah menjalani ujian Covid-19, dan 1,156 individu telah disahkan positif.

"Nisbahnya lebih daripada satu daripada setiap dua orang penghuni didapati positif Covid-19.

"Saya ingin mengingatkan semua pihak bahawa banduan juga adalah manusia, dan pegawai penjara juga turut dijangkiti Covid-19.

"Apa yang sedang berlaku di dalam penjara akan memberi kesan kepada komuniti di luar. Wabak Covid-19 boleh merebak kepada masyarakat di luar kompleks penjara sekiranya penularan di dalam penjara tidak dikawal," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dalam kenyataan itu, Liew turut memetik Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sabah Masidi Manjun yang dilaporkan mengatakan bahawa Penjara Kepayan menghadapi masalah kesesakan akibat lebihan kapasiti sehingga 81 peratus daripada jumlah yang sepatutnya.

Liew mengatakan bahawa dia dan beberapa pihak lain telah mengetengahkan masalah kesesakan penjara sejak April dan kerajaan menurutnya kerajaan seharusnya mempunyai masa yang cukup untuk menangani masalah itu.

Namun, katanya, belum ada "tindakan drastik" yang diambil oleh Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin atau kerajaan pusat.

Liew mengatakan bahawa dia setuju dengan bekas timbalan menteri dalam negeri Nur Jazlan Mohamed bahawa Hamzah lebih suka bermain politik daripada menjalankan tanggungjawabnya dalam menyelesaikan masalah Covid-19 yang melanda agensi-agensi di bawah bidang kuasa kementeriannya.

"Kerajaan perlu memberikan perhatian serius terhadap isu kesesakan penjara supaya dapat menyelesaikan masalah penularan wabak Covid-19," kata Liew.