DAP harap PM gerakkan langkah libat urus membina dengan PH
Ketidaktentuan politik negara nampaknya berakhir selepas Umno menegaskan sekali lagi sokongan mereka kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) semalam.
Pun begitu menjelang pembentangan Belanjawan 2020, DAP menggesa Perdana Menteri Minister Muhyiddin Yassin memulakan libat urus secara konstruktif dengan semua parti termasuk Pakatan Harapan demi kesejahteraan negara.
Pengerusi DAP, Tan Kok Wai, berkata Muhyiddin dan PN perlu melakukan kerjasama rentas parti bagi mengelakkan satu lagi kemelut politik berlaku.
Tan juga menganggap cubaan Muhyiddin mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat sebagai suatu tindakan "malapetaka".
"Kerajaan PN mesti melaksanakan kerjasama, sikap dan pendekatan rentas parti. Ini yang rakyat harap dilakukan segera.
"(Muhyiddin) akan melakukan kesilapan langkah besar jika dia menolak libat urus yang kontruktif dengan pembangkang," katanya kepada Malaysiakini.
Ahli parlimen Cheras itu juga mahu Muhyiddin menghormati dan patuh kepada titah Agong dengan bekerjasama dengan PH bagi memastikan kestabilan kerajaan.
Sedia bekerjasama, berunding
Katanya dalam pesanan Agong baru-baru ini, baginda dan raja-raja Melayu berharap kestabilan politik dicapai melalui kerjasama politik antara semua parti.
“Oleh itu, sangat penting bagi PN bersikap terbuka untuk mendapatkan pandangan, pendapat, cadangan mengenai Belanjawan 2021 daripada semua parti politik termasuk PH.
"(Muhyiddin) harus rendah hati untuk kebaikan negara dan rakyat," katanya, sambil menambah bahawa DAP telah mengambil inisiatif untuk menawarkan cabang zaitun.
“(Muhyiddin) perlu berjiwa besar demi rakyat dan negara," katanya.
Ditanya mengenai pendirian PH sama ada persetujuan sudah dicapai atau belum berhubung cadangan itu, Tan yang juga anggota majlis presiden gabungan berkenaan berkata, dia yakin pendirian tersebut dikongsi parti lain.
Sementara itu Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching berkata tindakan terbaik dibuat Muhyiddin ialah memulakan inisiatif perbincangan Perjanjian Keyakinan dan Pembekalan (CSA) dengan pembangkang.
Mengikut sistem parlimen Westminster CSA diperlukan untuk sebuah kerajaan minoriti kekal berkuasa dengan sejumlah ahli parlimen akan memberikan sokongan kepada usul atau belanjawan.
Cadangan itu turut disuarakan Bersih baru-baru ini.
Kata Teo, walaupun Umno dan PAS sekali lagi menyatakan sokongan kepada PN, kemelut politik Muhyiddin masih belum berakhir.
Hal itu kerana, kata setiausaha antarabangsa DAP itu lagi, ancaman terhadap PN adalah datang daripada Umno dan parti lain yang menyertai gabungan tersebut.
Kerana itu, kata Teo, penting untuk Muhyiddin bersikap lebih proaktif berunding dengan pembangkang mengenai CSA untuk membolehkan dia mendapat sokongan di parlimen.
Dalam keadaan begitu, katanya, Muhyiddin tidak lagi perlu bimbang jika belanjawan akan ditolak.
"Kami bersedia bekerjasama dan berminat untuk merundingkan CSA.
"Sekarang terserah kepada Muhyiddin sama ada mahu menerima tawaran ini atau tidak," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai