Skip to main
Logo Malaysiakini

Uniknya hobi main radio amatur

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Radio amatur mungkin kedengaran asing, namun ia mempunyai kelebihan tersendiri, khususnya isyarat perhubungan yang stabil.

Di Lahad Datu semasa krisis pencerobohan pada tahun 2013 misalnya, ia memainkan peranan penting dalam perhubungan pasukan keselamatan.

Bagi orang biasa, penggunaannya mungkin dianggap membuang masa. Namun siapa sangka terdapat pihak yang menjadikannya sebagai hobi.

Seorang guru bahasa Inggeris Veronica Nohan, 43 antara pengguna radio amatur di Miri, Sarawak.

Dia dan suaminya mengasaskan Kelab Radio Amatur Miri (MARCC) di Bumi Kenyalang untuk mempergiatkan hobi itu.

“Saya amat menggemari hobi radio amatur ini setelah didedahkan tentang keunikan hobi ini oleh pasangan saya sendiri iaitu suami saya.

“Saya semakin tertarik dengan keunikan aktiviti-aktiviti radio amatur yang berkaitan apabila menghayati hobi ini bersama suami,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini baru-baru ini.

Perhimpunan peminat radio amatur disertai Veronica

Radio amatur merupakan komunikasi radio yang menggunakan peralatan elektronik bersifat peribadi dan bukan tujuan komersial.

Menurut Veronica, hobi bermain radio amatur sekadar dibuat jika ada masa lapang jadi tidak mengganggu tugasnya sebagai seorang guru.

"Sekiranya kita mempunyai hobi, kita haruslah bijak untuk membahagikan masa yang mana perlu jadi keutamaan," katanya.

Veronica berkata pihak yang menceburkan diri dalam hobi radio ini kerana sedikit sebanyak boleh menambah pengetahuan dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (Stem).

Pemain radio amatur bagaimanapun harus mendapatkan kebenaran operasi bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).