Skip to main
Logo Malaysiakini

Dakwaan silap: 'Katil pesakit Covid-19 di Sabah penuh 99.5%'

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Masidi Manjun berkata kenyataannya minggu lalu bahawa katil yang diperuntukkan untuk pesakit Covid-19 hampir penuh adalah tidak betul, kerana terdapat kesilapan dalam menghitung angka tersebut.

"Buat masa ini jumlah katil yang tersedia ialah 7,237 sedangkan jumlah mereka yang mengunakan semua kemudahan ini sekadar 3,796. Ini statistik pada hari ini.

"Ini bermakna penggunaan sebenar ialah 52.5 peratus," katanya.

Angka ini termasuklah di hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC).

Jelas Masidi lagi, hanya kira-kira separuh daripada katil yang ada digunakan pada 22 Oktober ketika beliau memberikan angka yang salah, daripada 5,651 katil yang ada pada masa itu.

"Saya perlu membuat penjelasan ini agar tidak ada salah faham dan juga untuk memperbetulkan angka yang sebenarnya.

"Kesilapan ini tidak disengajakan dan harapan saya ialah penjelasan pada hari dengan sendirinya memperbetulkan statistik yang sebenarnya.

"Untuk pengetahuan juga, jumlah katil di negeri Sabah sentiasa bertambah bergantung kepada penambahan kepada pusat-pusat rawatan low-risk," katanya pada sidang akhbar di dalam talian hari ini.

Pada 22 Oktober, Masidi memberitahu media sebanyak 5,624 dari 5,651 katil untuk pesakit Covid-19 sudah digunakan, yang bermaksud tahap penghuni mencapai 99.5 peratus.

[Baca laporan asal]


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.