Skip to main
Logo Malaysiakini

KKM dalam usaha bawa pesakit di pulau Sabah ke pusat kuarantin

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kementerian Kesihatan (KKM) berdepan kesukaran mendapatkan kerjasama masyarakat Bajau Laut tanpa kerakyatan di Pulau Omadal di Semporna, Sabah, terutama untuk membawa mereka yang disahkan positif Covid-19 untuk dirawat di kemudahan kerajaan.

Bagaimanapun, menurut Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, pihaknya masih tidak berputus asa dan perbincangan sedang berjalan dengan pemimpin masyarakat di sana.

"Walau kes positif dikesan (di sana) susah nak pujuk hati penduduk untuk datang ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) untuk kes risiko rendah (PKRC)

"Tetapi sekarang kita sedang melihat bagaimana untuk pujuk mereka tampil. Kita kena bincang dengan ketua keluarga (di sana) untuk pujuk mereka yang positif ke KPRC," katanya ketika sidang media hari ini.

Dia berkata demikian ketika menjawab soalan tentang kes Covid-19 dalam kluster Omadal.

Pulau tersebut terletak kira-kira 18 kilometer dari pekan Semporna dengan bot sebagai satu-satunya pengangkutan ke sana.

Kluster Omadal mula dikesan lima hari lalu.

Hari ini, Noor Hisham memaklumkan ada 13 lagi individu yang berkaitan dengan kluster itu yang disahkan positif, menjadikan jumlah kes kepada 35.

Pada 27 Oktober lalu, Malaysiakini melaporkan tentang sekumpulan aktivis yang perlu memantau sekurang-kurangnya sembilan pesakit Covid-19 di pulau itu.

Aktivis Iskul Sama DiLaut Omadal (Sekolah Bajau Laut Omadal) terpaksa menggalas tugas itu selepas ramai penduduk yang tiada kerakyatan takut untuk ke hospital.

Pengasas bersama Iskul, Chuah Ee Chia ketika itu berkata, penyelesaian yang paling ideal untuk perkara itu adalah dengan mewujudkan pusat kuarantin di pulau.

[Baca berita asal]