Skip to main
Logo Malaysiakini

Pendaftaran Pejuang belum lulus kerana JPPM pilih kasih - Adun Jeram

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Seorang Adun Selangor mendakwa permohonan pendaftaran Pejuang belum diluluskan kerana terdapat unsur pilih kasih oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (JPPM).

Adun Jeram Mohd Shaid Rosli berkata demikian dengan membandingkan permohonan Pejuang dengan Perikatan Nasional (PN) yang diproses dengan segera.

"Saya juga merasakan wujud unsur pilih kasih ekoran pendaftaran PN yang diluluskan oleh jabatan itu dengan kadar segera dalam proses yang amat meragukan.

"Saya juga meminta agar Menteri Dalam Negeri (Hamzah Zainuddin) lebih profesional dalam menjalankan tugas. Beliau perlu menyelesaikan masalah di bawah kementerian beliau bagi menjaga integriti kementerian itu sendiri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pejuang, parti serpihan Bersatu yang dipimpin oleh Dr Mahathir Mohamad, membuat permohonan mendaftar parti mereka secara rasmi pada Ogos.

Pada bulan yang sama PN didaftarkan dan logo gabungan itu dilancarkan, dua minggu sebelum pilihan raya negeri Sabah bermula.

JPPM semalam berkata permohonan Pejuang masih dikaji dan diteliti dan telah memberitahu pihak Pejuang mengenai perlunya dokumentasi lengkap untuk proses pendaftaran.

Mahathir membentuk Pejuang setelah dia dan beberapa yang lain disingkirkan daripada Bersatu kerana enggan duduk bersama PN semasa sesi Parlimen Mei.

Mahathir berselisih dengan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin - yang kini merupakan perdana menteri - setelah Muhyiddin membawa Bersatu keluar dari Pakatan Harapan pada bulan Februari, yang membawa kepada perubahan kerajaan.

Mahathir menggambarkan Pejuang sebagai parti bebas, yang bertujuan untuk menjadi penentu dalam pilihan raya akan datang.