Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis Johor tahan 25 pemandu mabuk sejak 23 Okt - Ayob

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Polis Johor melaksanakan 17 Ops Mabuk sejak dalam tempoh 23 hingga 29 Okt lepas, yang menyaksikan 25 pemandu ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol, dan 25 kenderaan di sita.

Ketua Polis Negeri Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata mereka yang ditahan terdiri daripada 24 pemandu lelaki dan seorang pemandu wanita, semuanya berumur antara 24 dan 52 tahun, dan 19 daripadanya telah dihadapkan ke mahkamah setakat ini.

"Baru-baru ini apabila kita tuduh mereka di mahkamah, ada pula pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mempertikaikan kenapa undang-undang kita begitu keras, ini yang kita kesal, bila ada undang-undang tak mahu ikut.. sebaliknya dipertikai.

"Bila jadi (kemalangan akibat mabuk) baru-baru ini, jadi isu besar. Kalau semua rakyat faham dan ikut undang-undang, perkara ini tidak akan berlaku. Bukan tak benar minum tapi ikutlah peraturan," katanya ketika ditemui dalam Ops Mabuk sekitar Johor Bahru tengah malam tadi.

Tarikh 23 Okt merupakan hari bermula penguatkuasaan Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020, yang antaranya meminda kadar alkohol yang dibenarkan bagi seseorang untuk memandu di samping mengenakan hukuman lebih berat kepada pesalah jalan raya. 

- Bernama