Skip to main
Logo Malaysiakini

Pejabat Kesihatan akan buat pemeriksaan kesihatan di Pulau Omadal

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Semporna akan mengadakan pemeriksaan kesihatan rutin di Pulau Omadal di Sabah sebagai langkah pencegahan penularan wabak Covid-19 dalam masyarakat Bajau Laut tanpa kerakyatan di sana.

Pegawai PKD Semporna Dr Shameer Khan Sulaiman berkata, langkah isu selepas pengesanan kes positif di pulau itu dan kesukaran untuk meyakinkan penduduk untuk mendapatkan rawatan di tanah besar.

"Perbincangan sudaah dibuat dan penyelesaian dan penjagaan optimum adalah untuk mereka dimasukkan ke hospital.

"Rundingan sedang berjalan," katanya kepada Malaysiakini, sambil menambah rundingan itu turut disertai wakil NGO tempatan, Iskul Sama DiLaut Omadal.

Pulau tersebut terletak kira-kira 18 kilometer dari pekan Semporna dengan bot sebagai satu-satunya pengangkutan ke sana.

"Kami faham mereka keberatan untuk tinggalkan tempat tinggal mereka, maka PKD Semporna akan melakukan pemeriksaan rutin di sana dan seperti selalu, menyediakan pemindahan kecemasan dan kesihatan, jika perlu.

"Usaha pendidikan kesihatan juga akan dibuat untuk memastikan komuniti di sana kekal selamat," katanya lagi.

Pada 27 Oktober lalu, Malaysiakini melaporkan tentang sekumpulan aktivis yang perlu memantau sekurang-kurangnya sembilan pesakit Covid-19 di pulau itu.

Aktivis Iskul Sama DiLaut Omadal (Sekolah Bajau Laut Omadal) terpaksa menggalas tugas itu selepas ramai penduduk yang tiada kerakyatan takut untuk ke hospital.

Susulan itu, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan kesukaran untuk membawa penduduk menjalani rawatan, dan usaha ke arah itu sedang dibuat, termasuk perbincangan dengan pemimpin setempat.

Menegaskan komitmen kerajaan untuk menyediakan khidmat penjagaan kepada semua, termasuk penduduk tanpa kerakyatan, Shameer berkata wad tambahan di Semporna dilengkapi hampir 1,000 katil dan pada masa ini hanya 30 peratus daripadanya yang digunakan.

Mengambil kira kekosongan itu, dia berkata bukan langkah yang bijak untuk mewujudkan pusat rawatan di setiap pulau berpenghuni kerana ia memerlukan sumber yang banyak.

Menurutnya, terdapat 26 pulau berpenghuni di Sabah.

"Kebanyakan pulau ini tiada kemudahan asas seperti bangunan yang baik, bekalan air dan elektrik.

"Kedudukannya juga jauh jadi perlu ambil kira keadaan cuaca untuk perjalanan laut. Selain faktor jika pesakit perlu segera dimasukan ke hospital, menjadikan sukar untuk menjamin penjagaan yang diberikan di tahap yang sama dengan pusat rawatan lain," katanya lagi.

Ketika dihubungi, pengasas bersama Iskul, Chuah Ee Chia berkata sebanyak 122 pek makanan diagihkan semalam dengan pengedaran akan diteruskan hari ini.

"Iskul hanya akan beri tumpuan dalam soal kebajikan dengan menyediakan makanan.

"Kami tidak akan memantau pesakit tetapi akan membantu PKD dalam pemeriksaan rutin mereka," katanya lagi.