Skip to main
Logo Malaysiakini

957 kes, 97 ICU, 972 sembuh

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Sebanyak 957 kes baru dilaporkan setakat 12 tengah hari ini, maklum Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

"Manakala, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 pula adalah 10,036 kes.

Ingin dimaklumkan daripada 957 kes baru pada hari ini, tiada kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

"Kesemua kes yang dilaporkan merupakan kes penularan Covid-19 dalam negara," katanya pada suatu kenyataan hari ini.

Jelas beliau, terdapat 97 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 27 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham berkata pada hari ini, Malaysia mencatatkan bilangan kes pulih Covid-19 sebanyak 972 kes.

"Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 adalah 22,220 kes (68.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes)," katanya lagi.

Dr Noor Hisham turut menjelaskan jumlah kes tinggi di Sabah dan Lembah Klang yang menyumbang kepada 874 kes adalah berikutan lebih banyak pengesanan dibuat di lapangan termasuk pengesanan kontak rapat, dan saringan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Plaza Hentian, Kajang yang mana 91 kes baru dilapor hari ini.

Jelasnya 80 kes berkaitan pusat tahanan sementara dan kluster-kluster penjara dilaporkan hari ini, yang terdiri daripada Pusat Tahanan Sementara Tawau sebanyak 54 kes, Kluster Penjara Seberang Perai (14), Kluster Penjara Kepayan (6), Kluster Benteng LD (3) dan Kluster Rumah Merah (3).

Menurut Noor Hisham dua kluster baru turut dikesan iaitu Kluster Usaha melibatkan daerah Klang dan Petaling di Selangor; serta Kluster Tembaga yang melibatkan daerah Timur Laut dan Barat Daya Pulau Pinang

Bagi Kluster Usaha, dari 25 individu yang disaring sehingga hari ini termasuk kes indeks ke 30,697 yang dikenal pasti positif Covid-19 Jumaat lepas, sebanyak 16 lagi disahkan positif hari ini, lima negatif dan tiga lagi masih menunggu keputusan.

Manakala bagi Kluster Tembaga, dari 69 kes indeks ke 29,359 yang dikenal pasti positif, Rabu lepas, saringan ke atas kontak rapatnya telah mengesan enam lagi kes positif Covid-19 dan kesemua mereka telah dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang.

Mengulas lanjut, beliau berkata sehingga pukul 12 tengah hari ini di bawah kluster berkenaan sejumlah 69 individu telah disaring, yang menyaksikan tujuh kes dikesan positif, 13 negatif dan 49 lagi masih menunggu keputusan.

Status ringkas Covid-19 setakat 1 November 2020:

Jumlah discaj baru: 972 kes

Jumlah kumulatif discaj: 22200 kes (68.4%)

Jumlah kes baru: 957 kes

Jumlah kumulatif: 32505 kes

Jumlah kes aktif: 10036 kes

Kes tempatan: 957 kes (671 WN, 286 BWN)

Kes import: 0 kes (0 WN, 0 BWN)

Perincian kes penularan Covid-19 dalam negara adalah seperti berikut:

Sabah: 644 kes

  • 97 kes daripada kluster-kluster sedia ada;
  • 401 kes daripada saringan kontak rapat kes positif Covid-19; dan
  • 146 kes daripada lain-lain saringan Covid-19.

Selangor: 225 kes

  • 172 kes daripada kluster-kluster, termasuk 16 kes dari kluster baru, Kluster Usaha;
  • 39 kes daripada saringan kontak rapat kes positif Covid-19; dan
  • 14 kes daripada lain-lain saringan Covid-19.

Pulau Pinang: 23 kes

  • 17 kes daripada kluster-kluster, termasuk satu (1) kes daripada kluster baru iaitu Kluster Tembaga; dan
  • Enam (6) kes daripada saringan kontak rapat kes positif Covid-19.

Wilayah Persekutuan Labuan: 18 kes

  • 13 kes daripada kluster-kluster sedia ada; dan
  • Lima (5) kes daripada lain-lain saringan Covid-19.

Terengganu: 15 kes daripada kluster sedia ada.

Sarawak: 11 kes

  • Lima (5) kes daripada kluster sedia ada;
  • Tiga (3) kes daripada saringan kontak rapat kes positif Covid-19; dan
  • Tiga (3) kes daripada lain-lain saringan Covid-19.4

Negeri Sembilan: Lapan (8) kes

  • Empat (4) kes daripada saringan kontak rapat kes positif Covid-19;
  • Dua (2) kes daripada kluster-kluster sedia ada; dan
  • Dua (2) kes daripada lain-lain saringan Covid-19.

Perak: Lima (5) kes daripada kluster sedia ada.

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur : Empat (4) kes

  • Tiga (3) kes daripada saringan kontak rapat kes positif Covid-19; dan
  • Satu (1) kes daripada kluster sedia ada.

Kedah: Satu (1) kes daripada kluster sedia ada.

Melaka: Satu (1) kes daripada lain-lain saringan Covid-19.

Johor: Satu (1) kes daripada lain-lain saringan Covid-19.

Wilayah Persekutuan Putrajaya: Satu (1) kes daripada saringan kontak rapat kes positif Covid-19.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.