Skip to main
Logo Malaysiakini

Esok MKN bincang keperluan wujud pusat kuarantin di Pulau Omadal

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan membincangkan keperluan mewujudkan pusat kuarantin baru di kawasan Pulau Omadal, di Semporna, Sabah dalam mesyuarat khas esok.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ini kerana lokasi pulau itu yang terletak kira-kira 18 kilometer dari pekan Samporna dan hanya boleh diakses menggunakan bot.

"MKN Sabah boleh menasihatkan mesyuarat esok sama ada tempat sesuai serta kekuatan anggota yang ada untuk mengawal," katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata pihak MKN juga akan menbincangkan pengendalian individu tidak berdokumen untuk menjalani saringan Covid-19 memandangkan ia bukan hanya melibatkan tanggungjawab Kementerian Kesihatan (KKM) semata-mata malah bidang kuasa Jabatan Imigresen.

Ismail Sabri berkata MKN juga akan membincangkan perincian prosedur operasi standard (SOP) pengoperasian Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) sepanjang tempoh PKPB di Lembah Klang untuk menghasilkan situasi menang-menang kepada pengusaha dan ibu bapa yang perlu bekerja.

"Kita akan terus berbincang dengan KKM bagaimana nak bantu ibu bapa yang kedua-duanya terpaksa bekerja (di lapangan/pejabat) dan tidak ada tempat untuk meninggalkan anak mereka selain di pusat jagaan, setiap keputusan mesti dapat persetujuan KKM.

"Kita sangat faham perkara ini, sebab itulah kita mulakan dengan pelaksanaan Bekerja Dari Rumah bagi membantu situasi ibu bapa yang tidak mempunyai pembantu untuk menjaga anak kerana Taska tutup," katanya.

Mengulas persediaan menghadapi kemungkinan banjir di pantai timur susulan jangkaan musim tengkujuh bulan ini, beliau berkata MKN akan memperincikan SOP melibatkan pengurusan mangsa ke pusat pemindahan bagi mengelak risiko jangkitan Covid-19.

"Kita faham dalam proses pemindahan mangsa banjir di pusat pemindahan, mereka akan tidur di khemah, atas lantai dalam satu kawasan tertutup yang sama, malah perlu berkongsi tandas," katanya.

Ismail Sabri berkata SOP itu termasuk cara mengendalikan orang kurang upaya (OKU), warga emas dan kanak-kanak yang melibatkan sentuhan ketika memberi bantuan.

Katanya pergerakan dan penglibatan pihak terlibat seperti badan beruniform dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga akan diambil kira.

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.