Skip to main
Logo Malaysiakini

Syarikat balak diarah bersih sisa tolak jalan, jejaskan Sg Kenoi

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) telah mengarahkan syarikat pelesen pembalakan di kawasan Hutan Lentang, Bentong kira-kira 173 kilometer dari Kuantan, membersihkan sisa penolakan jalan yang menjejaskan Sungai Kenoi di lokasi itu.

Pengarahnya Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata JPNP turut mengarahkan kerja-kerja pembersihan bagi pembinaan jalan keluar di kawasan lesen pembalakan itu dihentikan serta merta untuk penilaian semula.

"Pada masa ini, kami hanya membenarkan pelesen untuk melaksanakan kerja-kerja mitigasi di Sungai Kenoi sahaja dan mereka telah mula melaksanakan kerja-kerja pembersihan Jumaat lepas," katanya dalam satu kenyataan bagi mengulas isu penerokaan hutan di kawasan Hutan Lentang yang tular di media sosial baru-baru ini.

Beliau berkata isu itu sebenarnya hanya berkaitan aktiviti pembinaan jalan untuk ke kawasan lesen pembalakan jenis Tanah Milik yang terletak dalam daerah Bentong, apabila pemilik lot yang terletak tidak jauh daripada kawasan lesen itu tidak berpuas hati kerana mendakwa pelesen telah mencemarkan kawasan Sungai Kenoi, di samping mereka meragui kelulusan lesen pembalakan itu.

Hizamri berkata lesen pembalakan itu telah mendapat kelulusan JPNP untuk memulakan kerja pada 15 Okt lepas dan pelesen memaklumkan bahawa mereka perlu melalui Sungai Kenoi dengan jentera, kerana kayu yang akan digunakan untuk membina jambatan terletak di kawasan lesen.

"Selain kelulusan JPNP, pelesen juga mendapat kebenaran daripada Jabatan Pengairan dan Saliran Bentong untuk membina jalan melintasi kawasan sungai itu dengan beberapa syarat yang perlu dipatuhi. Jalan ini terletak di atas tanah kerajaan, dan tanah milik, dengan kerja-kerja pembinaan telah bermula pada 27 Okt lalu," katanya.

- Bernama