Skip to main
Logo Malaysiakini

MB Kedah: Sada ambil alih pengurusan air di Langkawi

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Syarikat Air Darul Aman (Sada) akan dapat penjimatan sebanyak RM3.65 juta sebulan mulai bulan ini selepas perjanjian konsesi selama 25 tahun bersama Taliworks Langkawi Sdn Bhd (Tailworks Langkawi) tamat semalam.

Tailworks Langkawi telah menguruskan bekalan air di Langkawi selama 25 tahun.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata Sada sebelum ini membayar kos operasi sebanyak RM5.4 juta sebulan kepada syarikat konsesi tersebut.

Beliau berkata daripada jumlah itu sebanyak RM2 juta dibayar menggunakan hasil air diperoleh daripada pulau itu manakala sebanyak RM3.4 juta terpaksa ditampung menerusi pendapatan Sada di Kedah.

Selepas Sada mengambil alih operasi, kos pengurusan air di Langkawi dijangka turun kepada RM1.75 juta.

“Kos konsesi yang ditanggung sebelum ini telah menjadi bebanan namun itu merupakan terma perjanjian selama 25 tahun, Alhamdulillah, kami yakin Sada menguruskannya dengan baik,” katanya selepas Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPPK) peringkat negeri Kedah di Dewan Al-Hana di Sik, hari ini.

Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi Sada berkata Sada akan mengambil alih semua pengurusan air di Langkawi mulai bulan ini, ia termasuk kerja-kerja teknikal iaitu penyelanggaraan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Baru, paip air sepanjang 46 kilometer, agihan bekalan ke akaun pengguna serta pengurusan bil air.

Sada sangat komited untuk menjana pendapatan yang lebih baik selain berusaha untuk membayar hutang kepada kerajaan pusat.

- Bernama