Skip to main
Logo Malaysiakini

Kadar kebolehjangkitan Covid-19 kini kurang dari satu

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kadar kebolehjangkitan, iaitu iaitu R-naught (R0), di seluruh negara kini kurang daripada 1.0, menurut Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

"Jika nilai R0 terus kekal pada 1, unjuran menunjukkan kita akan ada 965 kes baru hari ini, tetapi hari ini 834 kes (baru).

"Ini bermakna R0 kurang daripada 1, mungkin sekitar 0.95 atau 0.96," katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Dia juga berkata nilai R0 di Selangor kini adalah 1.23 manakala di Sabah pada kadar 1.0.

R0 adalah terma yang menunjukkan tahap kebolehjangkitan suatu penyakit berjangkit. Ia memberitahu kita, secara purata berapa ramai yang boleh berjangkit dengan seorang individu yang telah dijangkiti.

Sebelum ini, dia memberitahu nilai R0 seluruh negara ketika gelombang ketiga penularan Covid-19 bermula adalah sekitar 2.2.

Selepas pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) serta perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di beberapa kawasan, Noor Hisham berkata nilai R0 menurun kepada 1.5 dalam masa dua minggu, sebelum terus menurun kepada 1.0 dan kini kurang daripada itu.

"Jadi kita harap dalam dua minggu ini, kita dapat tingkatkan aktiviti kesihatan awam dan jika kita dapat kawal (penularan), maka dalam dua atau tiga minggu, kita akan dapat kurangkan kadar kebolehjangkitan di Sabah khususnya dan juga seluruh negara," katanya.

Dia juga berkata keadaan di Sabah kian bertambah baik apabila kadar positif di sana - yang sebelum ini jauh lebih tinggi daripada kadar seluruh negara - telah menurun dan semakin hampir dengan kadar seluruh negara.

Sebelum ini, kadar positif di Sabah adalah lima peratus tetapi kini menurun kepada 1.9 peratus.

Kadar untuk seluruh negara pula adalah 1.7 peratus.

"Tentunya ia menunjukkan penambahbaikan kerana kita telah lakukan kegiatan kesihatan awam untuk dua minggu ini," katanya lagi.