Skip to main
Logo Malaysiakini

Penjara tetap larang perjumpaan walau PKPD tamat

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) tidak dilanjutkan di beberapa penjara dan pusat tahanan di seluruh negara namun larangan mengadakan perjumpaan dengan banduan masih dikekalkan.

Ketua Pengarah Jabatan Penjara Malaysia, Zulkifli Omar, berkata situasi ketika ini adalah terkawal namun mereka memutuskan untuk terus melarang sebarang bentuk perjumpaan serta program membabitkan banduan.

Pada masa sama katanya prosedur operasi standard (SOP) bagi menerima, mengiring serta menguruskan banduan akan ditambah baik dari semasa ke semasa bagi mengelakkan masalah sama daripada berulang.

Kata Zulkifli PKPD kini ditamatkan di Penjara Tapah, Penjara Taiping, Pusat Koreksional Kamunting di Perak, Penjara Reman Sungai Buloh, Penjara Kajang, Penjara Wanita Kajang, Pusat Koreksional Puncak Alam di Selangor, Penjara Sungai Petani di Kedah dan Pusat Koreksional Perlis.

"Jabatan Penjara mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Dalam Negeri serta semua agensi penguatkuasaan yang terlibat mengekang penularan Covid-19 dalam penjara.

"Kami percaya perkembangan positif ini adalah petanda awal terhadap kejayaan bersama untuk melandaikan lengkungan jangkitan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Zulkifli penghargaan juga diberikan kepada seluruh kakitangan Jabatan Penjara atas komitmen dan kesetiaan mereka menjalankan tugas walaupun berdepan dengan risiko dijangkiti Covid-19.

Untuk rekod, kes di penjara merupakan antara penyumbang terbesar jumlah jangkitan Covid-19 di negara ini, khususnya sejak gelombang ketiga wabak terbabit kira-kira sebulan lalu.

Beberapa penjara dan pusat tahanan lain masih dikenakan PKPD termasuk Penjara Pulau Pinang di George Town dan di Sabah.

Jabatan Penjara Malaysia tidak menyatakan jumlah banduan atau kakitangan mereka yang dijangkiti Covid-19 namun menurut kenyataan Zulkifli, sejak 1 Sept hingga semalam mereka - dengan kerjasama KKM - melaksanakan 63,730 saringan.

Ia membabitkan banduan, kakitangan serta ahli keluarga semua institusi penjara seluruh negara.

"Berikutan strategi kuarantin dan lockdown terhadap tahanan reman serta banduan sabitan, situasi penularan Covid-19 dalam kalangan institusi penjara semakin terkawal dengan catatan peningkatan kes harian yang rendah.

"Sehingga 2 Nov, sebanyak 3,721 kes sembuh direkodkan," katanya.