EAIC selesai siasat suspek Macau Scam larikan diri dari SPRM
Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) telah selesai menjalankan siasatan berhubung tindakan seorang suspek sindiket Macau Scam dan perjudian dalam talian yang melarikan diri melalui pagar belakang bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya pada 11 Okt lepas.
Pengerusinya Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata semua pihak yang terlibat telah memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak EAIC.
“Dapatan siasatan dan keputusan EAIC telah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara menurut perenggan 30(1)(c) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 (Akta 700) untuk tindakan selanjutnya,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, pada 13 Okt lepas, SPRM mengesahkan seorang suspek sindiket ‘cuci duit’ atau pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan perniagaan beberapa selebriti tanah air, bertindak melarikan diri ketika hendak ditahan semula di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.
Berikutan itu, pada 16 Okt lepas, polis mendedahkan butiran suspek yang dikehendaki polis bagi membantu siasatan tiga kes melibatkan penganjuran judi dalam talian di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.
Katanya suspek disyaki adalah koordinator kepada aktiviti Macau Scam di China.
Pada 27 Okt lepas, suspek telah ditahan mengikut POCA bersama-sama seorang wanita, dipercayai warga China, di hotel sebuah pusat peranginan di Pahang.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai