Maszlee dijangka tak berparti sehingga tahun depan
Bekas menteri pendidikan Maszlee Malik, yang keluar Parti Pejuang Tanah Air semalam, dijangka tidak akan menyertai mana-mana parti politik dalam masa terdekat.
Sebaliknya, anggota Parlimen Simpang Renggam itu difahamkan akan bergerak melalui NGO dan memberi tumpuan kepada kerja-kerja kebajikan di kawasan parlimen itu.
Dia dijangka mengambil sikap tunggu dan lihat dalam keadaan politik semasa negara yang makin tidak tertentu, selain mencongak peluang terbaik dalam karier politik.
“Keadaan politik dijangka lebih jelas selepas tahun depan, terutamanya vaksin Covid-19 sudah ada dan pilihan raya (umum) boleh diadakan.
“Ketika itulah mungkin dia akan buat keputusan,” kata sumber.
Sumber yang mengetahui perkara itu bagaimanapun mengesahkan Maszlee mendapat tawaran daripada “beberapa” parti politik dalam Pakatan Harapan (PH).
Di pihak kerajaan pula masih belum jelas, dan dia setakat ini cuma pelawaan “minum kopi” sahaja, menurut sumber lagi.
Malaysiakini sedang cuba mendapatkan pengesahan parti-parti politik berkaitan dan Maszlee berkaitan perkembangan itu.
Sokongan kepada Anwar
Sementara itu, seorang pemimpin kanan PKR ketika dihubungi Malaysiakini petang tadi percaya Maszlee akan menyertai parti itu.
Dakwanya, Maszlee telah menyatakan sokongan kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim secara peribadi.
“Sudah pasti dia akan menyertai PKR untuk meneruskan perjuangan politik,” katanya yang tidak dapat menjangkakan bila perkara itu akan berlaku.
Semalam Maszlee mengumumkan menarik diri daripada jawatankuasa penaja Pejuang dan akan bergerak sebagai wakil rakyat bebas - kira-kira tiga bulan selepas parti pimpinan Dr Mahathir Mohamad dan anaknya Mukhriz didaftarkan.
Dalam kenyataan semalam, Maszlee, bekas ahli akademik dan pemerhati politik, berkata akan meneruskan tugas dalam “gerakan perubahan pendidikan”.
Maszlee sebelum ini terkait dengan kontroversi berhubung penyebaran dokumen sokongan kepada Anwar untuk membentuk kerajaan baru.
Akuan berkanun (SD) yang dikatakan ditandatangani Maszlee menyokong Anwar sebagai perdana menteri bagi menggantikan Muhyiddin Yassin tersebar di tengah-tengah kemelut politik negara.
Berdepan pelbagai kontroversi
Sementara itu, Maszlee dijangka akan bekerjasama dengan beberapa tokoh aktivis terkenal lain dalam misi barunya.
Bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu meninggalkan dunia akademik untuk bersama Mahathir menjatuhkan BN dalam pilihan raya umum lalu.
Dia menjadi pilihan Mahathir sebagai menteri pendidikan, susulan perdana menteri terikat dengan keputusan PH bahawa seorang menteri tidak boleh memegang lebih daripada satu portfolio dalam kerajaan.
Pentadbirannya bagaimanapun berdepan pelbagai kontroversi, antaranya ekoran langkah drastiknya di Kementerian Pendidikan seperti memperkenalkan tulisan jawi kepada pelajar sekolah Cina dan Tamil di negara ini.
Turut menjadi igauan buatnya adalah pelaksanaan pengunaan kasut hitam untuk pelajar, mahu memperkenalkan silibus renang untuk pelajar dan menerima lantikan sebagai presiden UIA.
Pada 2 Januari dia “memulangkan” jawatan itu kepada Mahathir tetapi tidak mendedahkan sebabnya.
Bagaimanapun, ketika krisis kepimpinan melanda Bersatu, selepas Muhyiddin membawa Bersatu membentuk kerajaan baru dengan musuh politik, Maszlee kekal bersama Mahathir sehinggalah mereka dan beberapa lagi dipecat.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai