Persatuan siswa UM siar semula kenyataan mengenai peranan Agong
Kumpulan mahasiswa Persatuan Pemuda Baru Universiti Malaya (Umany) menyiarkan semula kenyataan kontroversi mengenai peranan Yang di-Pertuan Agong dalam urusan negara.
Dalam catatan Facebooknya hari ini, kumpulan itu menjelaskan mereka pada awalnya menyiarkan kenyataan itu di Facebook pada jam 8 malam pada 30 Okt lalu, tetapi menyahaktifkan laman sosial berkenaan pada jam 2 pagi atas nasihat peguam.
"Akibat artikel pihak kami diputarbelitkan dan mengundang fitnah dengan serius, kami membuat keputusan untuk mengaktifkan semula laman Facebook kami," katanya dalam satu kenyataan.
Kumpulan itu mengkritik sekeras-kerasnya siasatan Universiti Malaya berhubung kenyataan Umany dan mengancam akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya tindakan tatatertib dikenakan terhadap mereka.
"Sekiranya pihak UM ingin mengambil tindakan tatatertib terhadap UMANY yang mengadakan perbincangan akademik secara rasional, kami berkemungkinan akan mencabar tindakan tersebut melalui sistem perundangan untuk menuntut pampasan.
"Umany berpendirian teguh dalam mempertahankan kebebasan dan hak bersuara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan," kata mereka.
Kenyataan Umany pada 30 Okt lalu dibuat sebagai respons terhadap keputusan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menolak cadangan perdana menteri untuk mengisytiharkan darurat, dan menasihati semua anggota parlimen menyokong Belanjawan 2021 yang akan dibentang di Dewan Rakyat.
Baca: SURAT | Umany jangan biadab terhadap Agong - GPMS
Persatuan itu berpendapat Agong "tidak boleh campur tangan dalam urusan negara; tetapi harus selalu mengekalkan sikap berkecuali dan memainkan peranannya dalam kerangka yang dibenarkan oleh perlembagaan".
Mereka berkata di bawah Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong harus bertindak sesuai dengan nasihat kabinet kecuali dalam tiga hal: pelantikan perdana menteri, dalam menolak permintaan membubarkan parlimen, dan dalam mengadakan pertemuan antara Raja-raja Melayu.
"Perkara-perkara ini telah membuktikan ketuanan perlembagaan. Bahkan Agong tidak boleh menindas atau mengatasi perlembagaan untuk memperluas hak politik baginda.
"Apa-apa tindakan di luar peruntukan perlembagaan adalah tidak berperlembagaan," katanya.
Persatuan itu mendapat kritikan hebat terhadap kenyataan tersebut, mendorong kumpulan hak asasi manusia meminta agar tuduhan palsu terhadap kumpulan itu dihentikan.
Mereka juga mendesak UM menghentikan siasatannya terhadap para pelajar berkenaan.
Sementara itu, Umany menegaskan ia menjunjung Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi dan menghormati sistem raja berperlembagaan di negara ini.
Persatuan itu juga mengutuk "serangan " terhadap isu itu yang menurut mereka bersifat "perkauman dan seksis".
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai