30 tahun PAS tadbir Kelantan dari perspektif Mohd Amar
WAWANCARA | Kelantan melalui sejarah pentadbiran tersendiri yang signifikan dengan pemerintahan PAS sejak 1990. Sepanjang tempoh itu tempo gerakan politik PAS sentiasa mencuri tumpuan kawan dan lawan.
Apa yang menjadi kebanggaan pemimpin dan penyokong PAS khususnya ialah Kelantan itu sendiri.
Di mata dan hati Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohd Amar Abdullah, satu perkara besar dilihatnya dalam tempoh itu adalah kejayaan PAS sebagai kerajaan negeri membentuk pemikiran masyarakat.
"Ini saya selalu sebut. Sebab dulu dalam tanggapan masyarakat, orang tidak yakin bahawa Islam boleh jadi asas kepada pentadbiran sebuah negeri dan juga sebuah pemerintahan.
"Yang kedua, orang tidak yakin seorang ulama boleh menjadi pemimpin nombor satu dalam negeri.
"Tapi dalam masa 30 tahun ini kita (PAS) berjaya membuktikan Islam ini boleh menjadi dasar negeri, dan boleh beroperasi dalam sebuah negeri dan negara moden macam Kelantan dan Malaysia. Maknanya tidak ada pertembungan yang besar antara Islam dan pentadbiran.
"Kita berjaya membuktikan ulama boleh jadi pemimpin, dulu Tok Guru Nik Aziz (Nik Mat), sekarang ini Datuk Ahmad Yakob, kedua-dua mereka tok guru, ulama.
"Kedua-duanya mempamerkan kebolehan dan kemampuan menjadi ketua negeri, malah tidak ada halangan kepada pembangunan, perubahan dan pencapaian-pencapaian. Bagi saya ini perkara yang besar," katanya ketika menjawab soalan diajukan Malaysiakini selepas menyaksikan Pameran Tiga Dekad Kerajaan Kelantan Membangun Bersama Islam di Muzium Negeri, Kota Bharu, semalam.
Itulah kebijaksanaan PAS
Pemimpin kanan PAS itu berkata, kejayaan besar mereka di negeri Cik Siti Wan Kembang itu juga boleh dilihat melalui rekod sifar rasuah sepanjang tempoh 30 tahun menjadi kerajaan negeri.
Bagi Mohd Amar, penanda aras terhadap sesebuah pentadbiran boleh dibuat berdasarkan indeks rasuah.
"Kalau kita baca buku-buku politik akan disebut 'acid test' (ujian getir) kepada sesebuah pentadbiran adalah indeks rasuah. Kita di Kelantan ini alhamdulillah dengan izin Allah SWT dan kerjasama semua pihak kita berjaya mengekalkan rekod sifar rasuah. Ini satu kejayaan yang besar.
"Kita tidak ada masalah untuk kekalkan rekod ini, dengan syarat kita kekalkan kualiti yang sedia ada. Itu yang paling penting, kita panggil prasyarat. Kalau prasyarat itu dikekalkan kita boleh bertahan sampai bila-bila.
"Asasnya pentadbiran Islam, kedua kejujuran pemimpin-pemimpin, sikap amanah, tawaduk, dan rendah diri. Kalau kita boleh kekalkan kualiti ini dari atas sampai ke bawah insya-Allah kita boleh bertahan dan kekal memerintah sampai bila-bila," jelasnya.
Sementara itu diminta mengulas sejauh mana senario politik semasa membentuk potensi masa depan PAS, bekas pensyarah bidang ilmu wahyu itu memberi gambaran betapa keberadaan PAS hari ini adalah hasil kebijaksanaan barisan kepimpinan parti tersebut.
Ditanya bagaimana PAS boleh meletakkan diri dalam aspek kerjasama dengan pelbagai gabungan parti, Mohd Amar menjelaskan asas parti itu sentiasa mendahulukan Islam dalam apa juga pendekatan.
Pengundi bukan macam dulu
"Kalau kita nak bercakap dalam sudut politik, itulah kebijaksanaan PAS bermain politik dan kebijaksanaan pemimpin PAS. Tahu meletakkan diri dalam suasana-suasana yang sesuai dengan tidak mengorbankan prinsip perjuangan.
"Kalau orang yang tidak faham mungkin akan kata PAS ini pragmatik, kadang-kadang orang kata U-turn, tapi kalau kita tengok dari sudut yang lain kenapa PAS boleh berfungsi dalam suasana-suasana yang berbeza?
"Kerana politiknya adalah politik Islam, PAS sentiasa meletakkan kepentingan Islam di hadapan mendahului kepentingan politik. Kalau kita sekadar main politik saja, mungkin tidak macam ini, tapi kerana kita letak Islam. Jadi Islam yang meletakkan keputusan dan dasar parti," tegasnya.
Dalam melihat masa depan dan cabaran khususnya di Kelantan, Adun Panchor itu tidak menolak betapa masih banyak aspek yang perlu diperbaiki.
Secara peribadi, katanya, apa yang penting sekarang ialah mengekalkan rekod yang ada dan menambahbaik pencapaian.
"Sebabnya, walaupun dalam 30 tahun banyak pencapaian kita buat, tetapi secara peribadi saya berpandangan masih banyak aspek yang perlu kita tengok balik.
"Kita perlu lihat balik pendekatan kita, dasar-dasar kita dan juga program-program kita yang perlu disesuaikan dengan perkembangan.
"Sebab sekarang ini pertamanya kita berdepan dengan suasana politik yang berbeza. Kedua, pengundi yang berbeza berbanding dulu," kata Mohd Amar.
Tambahnya, generasi sekarang iaitu pengundi muda yang mempunyai pemikiran berbeza dan satu cabaran besar yang dhadapi adalah pola generasi muda hari ini tidak lagi mengundi mengikut parti.
"Ini satu cabaran yang besar, dulu orang mengundi berdasarkan parti, dia setuju ke tak setuju, puas hati ke tidak, dia akan undi parti dia. Tetapi generasi baru ini saya lihat berbeza, mereka mengundi berdasarkan apa yang ada di hadapan mereka. Bahasa mudahnya: isu.
"Mereka tak peduli parti apa, baginya parti tak penting tetapi apa isu dan apa pendirian parti berkenaan terhadap isu. Ini satu cabaran yang besar terutama dalam konteks kita sebagai parti Islam, bagaimana untuk memposisikan kedudukan dalam suasana yang moden.
"Bagaimana kita nak memastikan Islam atau politik Islam sentiasa relevan dengan masyarakat," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai