Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Banyak cara baiki ekonomi Langkawi, tapi...

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Saya baru pulang daripada lawatan tiga hari ke Langkawi.

Langkawi hijau, iaitu bebas dari Covid-19.

Namun penduduk patuh SOP dan pemeriksaan untuk Covid-19 dikenakan kepada semua pelawat.

Tetapi semasa saya di sana saya dapati keadaan muram. Perintah Kawalan Pergerakan yang dikenakan di daratan akibat Covid-19 menjejaskan industri pelancongan Langkawi.

Hanya dua tiga penerbangan sahaja dari Subang/Sepang masuk Langkawi tiap hari. Jadual penerbangan masuk, serta perkhidmatan feri amat berkurangan setelah kawalan pergerakan terbaru dikenakan ke atas Selangor, terutamanya.

Walaupun beberapa bulan lalu terdapat peningkatan kemasukan pelancong tempatan, malangnya pertambahan mendadak kes-kes Covid-19 telah membantutkan kedatangan pelancong ke Langkawi.

Peniaga-peniaga merungut, banyak kedai ditutup, ada yang hanya sementara tetapi ada juga yang gulung tikar. Pusat-pusat pelancongan kelihatan sepi. Kereta-kereta sewa banyak yang tersadai kerana ketiadaan pelanggan. Restoran-restoran yang dulunya tumpuan pelancong juga sepi.

Nyata PKP terbaru ini menjejas sektor pelancongan kerana ramai pelancong tempatan, terutamanya dari Selangor dan Kuala Lumpur tidak dapat berkunjung ke Langkawi.

Saya khuatir kesan jangka panjang kepada ekonomi Langkawi dan kepada kehidupan penduduk pulau ini.

Sebenarnya terdapat banyak cara dan cadangan untuk memperbaiki ekonomi Langkawi. Tetapi setakat ini kebenaran kerajaan tidak dapat diperoleh. Mungkin ia disebabkan wabak Covid-19. Tetapi jika dirancang dengan mengambil kira SOP Covid, industri pelancongan dan lain-lain industri boleh diperbaiki.

Ini bukan sahaja boleh dilakukan tanpa peruntukan kerajaan tetapi boleh menyumbang kepada pertambahan dana kerajaan.

Saya fikir penyakit ini akan ambil masa yang lama. Kita tidak mungkin dapat hapus terus penyakit ini dalam masa terdekat.

Sementara itu, rakyat perlu terus hidup dan menjana pendapatan untuk sara kehidupan serta keluarga. Mereka harus diberi peluang jika tidak negara akan mengalami kehancuran ekonomi.

Mungkin ada sesiapa dalam kerajaan yang boleh dengar rintihan peniaga kecil seperti ini dan beri pertimbangan. Saya akan terus berikan idea lain jika ianya dapat membantu.


DR MAHATHIR MOHAMAD ialah anggota parlimen Langkawi dan bekas perdana menteri.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.