Skip to main
Logo Malaysiakini

Cadangan 'bank pekerjaan': Pakar berbelah bahagi

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pakar ekonomi berbelah bahagi berhubung cadangan Ketua Penerangan Umno Shahril Sufian Hamdan berkenaan skim jaminan pekerjaan atau bank pekerjaan (job bank) dalam musim Covid-19.

Bank pekerjaan merupakan satu inisatif di mana kerajaan menggajikan lebihan bekalan buruh atau mereka yang tidak mempunyai kerja untuk bekerja di sektor tertentu.

Pakar ekonomi dari Universiti Putra Malaysia (UPM), PM Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, menyifatkan cadangan Shahril sebagai cadangan yang baik jika dilihat dari jangka masa pendek.

Katanya, ia dapat mengurangkan pengangguran dan meningkatkan kecairan dalam pasaran, selain mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing sekali gus mengurangkan aliran tunai ke luar negara.

Jangkaan kos pelaksanannya - iaitu kira-kira RM18 bilion - bagaimanapun mungkin dilihat satu masalah.

Namun untuk mengelakkan kerajaan mengambil hutang baru dalam merealisasikan cadangan itu, Razman mencadangkan penggunaan sistem muqassah (pemberian rebat) atau ‘netting’.

Katanya, kerajaan boleh memperkenalkan sistem kredit atau baucar kepada pekerja yang digaji, yang membolehkan mereka membeli barangan atau perkhidmatan daripada sektor perniagaan swasta dan awam.

Dengan ini, sektor perniagaan swasta boleh mengumpulkan kredit ini untuk dikontrakan dengan bayaran cukai pendapatan syarikat kepada kerajaan.

“Bermakna kredit ini ada had tempohnya untuk mengelakkan rakyat atau peniaga mengumpul kredit ini.

“Ini akan menggalakkan penggunaan kredit di pasaran sekali gus merancakkan ekonomi dan kerajaan tidak perlu menambah hutang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Bagaimanapun tambah Razman, projek 'job bank' ini hanya bolehlah dijalankan untuk beberapa tahun, bukan untuk jangka masa panjang.

Ini katanya bagi membolehkan proses digitalisasi dan automasi diperkenalkan dan pekerja dapat menaik taraf kemahiran serta pengetahuan mereka, selain mendapat pekerjaan yang lebih stabil serta memberikan gaji lebih tinggi.

“Matlamat utama ialah memastikan kesemua pekerja ini mampu menjadi pekerja berkemahiran tinggi dan sederhana pada masa akan datang hasil daripada proses menaik taraf modal insan dan proses pendigitalan dan automasi,” katanya lagi.

Melalui cadangan yang dikemukakan di Facebooknya baru-baru ini, Shahril mencadangkan kerajaan membelanjakan sejumlah wang untuk mengambil lebihan bekalan buruh dan menggajikan mereka menerusi skim tersebut.

Dia memberikan sejumlah contoh pekerjaan yang boleh dimanfaat, antaranya infrastruktur, jururawat peribadi, pekerja NGO alam sekitar, petugas digitalisasi dokumen di perpustakaan, penterjemahan karya ke bahasa kebangsaan, pendidikan, kesihatan mental dan sebagainya.

Kata Shahril, kerajaan boleh menyasarkan aktiviti berunsur “kebajikan sosial” yang tidak mendapat minat sektor swasta, seperti yang diutarakannya terutama dalam waktu pasaran kerja swasta yang belum pulih sekarang ini.

Dengan anggaran RM1,500 sebulan untuk 1 juta tenaga kerja menerusi skim ini, Shahril menjangkakakan kos RM1.5 bilion sebulan atau RM18 bilion setahun.

Untuk membiayai kos ini, dia mencadangkan kerajaan berbelanja defisit untuk merancakkan ekonomi negara dengan cara memberikan wang kepada rakyat yang memerlukan, dan apabila rakyat bekerja, output (pengeluaran) akan meningkat dan risiko inflasi akan terkawal.

Dia turut mencadangkan bantuan tunai ditambah, serta undang-undang yang melarang perbelanjaan mengurus melalui bon dipinda untuk merancakkan ekonomi.

Bagaimanapun pakar ekonomi dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Prof Dr Shazali Abu Mansor, kurang menyokong cadangan bank pekerjaan dan menyifatkan dalam pasaran kerja, isu pembekalan dan permintaan tidak dapat dielakkan.

Namun, dia bersetuju dengan cadangan belanjawan defisit, untuk kerajaan berbelanja lebih dalam waktu ini agar wang dapat dikitar di dalam ekonomi.

“Tapi duit itu biarlah betul-betul untuk orang belanja, jangan (untuk) orang simpan di dalam bank.

“Maknanya, (beri kepada) golongan B40 atau pertengahan (M40), yang betul-betul duit itu akan dibelanjakan, barulah ekonomi akan berkembang, untuk tujuan  tersebut,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Berhubung cadangan agar kerajaan meminda undang-undang bagi membolehkan perbelajaan mengurus dibuat melalui bon, kata Shazali, dia bimbang cadangan itu akan membolehkan ia dilakukan pada masa akan datang meskipun tiada keperluan.

“Kalau dari segi jangka pendek, dalam keadaan darurat seperti sekarang, saya rasa okeylah. Tapi dalam keadaan ekonomi biasa (pada masa akan datang), maknanya (kalau mungkin) tiap-tiap tahun kita pinjam untuk keluarkan bon bagi belanja mengurus, itu susah juga.

“Kalau duit itu untuk pembangunan, okeylah. Tapi kalau duit itu untuk operasi, bagi saya, tak digalakkan.

“Urus apa yang ada. Kalau darurat macam ini, kita fahamlah. Tapi bila sudah tidak darurat nanti, kita harus bergantung kepada pendapatan kita,” jelasnya lagi.