Skip to main
Logo Malaysiakini

84 mangsa banjir di Rantau - APM

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Sega Hilir, Rantau di Seremban, Negeri Sembilan meningkat kepada 84 individu melibatkan 17 keluarga setakat 8 malam berbanding 77 mangsa daripada 16 keluarga petang tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan Leftenan Kolonel (PA) Fazlisyah Muslim berkata pertambahan jumlah itu membabitkan satu keluarga dari Kampung Pasir.

Beliau berkata pada masa sama, sebuah lagi PPS baharu telah dibuka pada 3 petang tadi bagi menempatkan sejumlah 39 mangsa banjir di Port Dickson.

"PPS berkenaan ialah Balai Raya Kampung Linggi, Port Dickson yang menempatkan 39 penghuni Kompleks Pengajian Anak Yatim dan Warga Emas Darul Widad," katanya kepada Bernama malam ini.

Fazlisyah berkata dalam keadaan cuaca yang tidak menentu, kebenaran untuk semua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing hanya dapat ditentukan esok.

“Cuaca petang tadi agak mendung dan sekarang kita tunggu laporan daripada Jabatan Meteorologi Malaysia dahulu. Kita berada dalam keadaan siap siaga sekiranya berlaku hujan lagi,” katanya.

Terdahulu, hampir 2,000 mangsa dari 15 kawasan meliputi daerah Seremban dan Rembau serta Port Dickson terjejas akibat banjir kilat yang melanda di Negeri Sembilan hari ini namun semua mangsa pulang ke rumah masing-masing sebaik air mula surut.

Selain Kampung Sega Hilir dan Kampung Pasir, turut terjejas penduduk di Kampung Datuk Mansor, Taman Happy dan Taman Mok Sum, Kampung Bukit Chedang, Kampung Baru Block C Ampangan, Kampung Batu 3, Taman Angsa Mas, Kampung Siliau, Kampung Kuala Sawah serta Kampung Lingsum.

- Bernama