Skip to main
Logo Malaysiakini

Taman Persekutuan Bukit Kiara diwarta 'paru-paru hijau KL' - MP Segambut

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Sebahagian besar Taman Persekutuan Bukit Kiara telah diwartakan sebagai kawasan hijau ‘paru-paru kota’ dalam usaha menjamin kelestarian alam sekitar di ibu negara, maklum Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh.

Ini bermakna kawasan hijau itu tidak boleh dibangunkan, jelas bekas timbalan menteri yang berkata keputusan menggazetkan tanah seluas 111 hektar itu diluluskan pentadbiran PH bagi memenuhi janji PRU14 kepada pengundi Segambut.

"Pewartaan itu penting untuk memastikan 'permata hijau Segambut' ini terpelihara dan dilindungi.

"Memenuhi mandat yang diberikan oleh rakyat pada 9 Mei 2018, kami berusaha untuk memenuhi janji pilihan raya ini," kata Yeoh pada sidang media di parlimen hari ini, bersama-sama bekas menteri wilayah persekutuan Khalid Samad, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil dan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng.

"Ini adalah langkah penting untuk memelihara dan melindungi ruang hijau yang berharga ini di tengah-tengah Kuala Lumpur untuk generasi masa depan kita.

"Pewartaan ini melindungi taman daripada cubaan merampas tanah dan pembangunan yang sembarangan," katanya, sambil menambahkan proses itu telah dimulai sejak zaman Lim menjadi ahli parlimen Segambut lagi.

Yeoh berkata, pewartaan taman juga telah disiarkan di laman web Jabatan Peguam Negara pada 9 Mac dan 29 Julai lalu tetapi pengumumannya hanya dibuat hari ini setelah mendapat salinan pewartaan secara rasmi.

Beliau juga menjelaskan tanah yang diwartakan tidak meliputi kawasan yang menjadi pertikaian di mahkamah sekarang mengenai Taman Rimba Kiara.

"Bukit Kiara berada di puncak bukit sementara Taman Rimba Kiara terletak di kaki bukit," katanya.

Menurut Yeoh lagi, mahkamah belum memberikan penghakiman mengenai pertikaian tersebut.

[Baca laporan asal]