Skip to main
Logo Malaysiakini

Kelantan bentang Belanjawan 2021, peruntukan RM1.57 bilion

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kerajaan Kelantan hari ini membentangkan Belanjawan 2021 dengan peruntukan berjumlah RM1.57 bilion.

Belanjawan itu menjangkakan defisit RM66.02 juta, iaitu peningatan sebanyak RM19.95 juta berbanding defisit sebelumnya iaitu RM40.6 juta.

Sebanyak RM1.09 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan pengurusan, manakala RM419.29 juta dana kerajaan negeri dan RM60 juta daripada pinjaman untuk perbelanjaan pembangunan.

Anggaran perbelanjaan mengurus itu meningkat RM294.92 juta, atau 37.11 peratus, berbanding tahun lalu.

Bertemakan ‘Berkat Perpaduan, Kelantan Sejahtera’, Menteri Besar Ahmad Yakob ketika membentangkannya di DUN Kelantan berkata ia akan memberi tumpuan dalam penambahbaikan tiga teras utama - keberkatan, kemakmuran dan kebajikan.

Menurut Ahmad, walaupun anggaran belanjawan adalah defisit, untuk tiga tahun berturut-turut kerajaan mencatatkan perbelanjaan lebihan iaitu sebanyak RM38.2 juta pada 2017, RM40.4 juta untuk 2018 dan RM445.69 juta pada 2019.

Untuk rekod, nilai lebihan ketara pada 2019 berbanding dua tahun sebelum itu antara lain dilihat susulan bantuan 'one-off' berjumlah RM400 juta daripada Kerajaan Persekutuan pada masa itu.

"Prestasi kewangan negeri pada 2020 juga dijangka dapat mengurangkan jumlah defisit semasa dengan kerajaan negeri berbelanja secara berhemat dan mengikut keutamaan kerajaan.

"Belanjawan 2021 akan berpaksikan kepada Strategi Lautan Hijau yang melibatkan intergrasi tiga nilai iaitu nilai ekonomi, sosial dan alam sekeliling," katanya di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.

Ahmad berkata kerajaan negeri menganggarkan perolehan hasil sebanyak RM1.02 bilion untuk tahun hadapan.

"Anggaran hasil 2021 meliputi hasil cukai, bukan cukai dan terimaan bukan hasil menunjukkan peningkatan sebanyak RM274.96 juta berbanding anggaran hasil 2020 sebanyak RM748.71 juta.

"Hasil tanah kekal menjadi penyumbang terbesar dengan RM354.95 juta atau 34.77 peratus daripada keseluruhan jumlah hasil. Ia menunjukkan peningkatan sebanyak RM46.56 juta atau 15.05 peratus berbanding tahun lalu RM309.39 juta," katanya.

Katanya lagi, daripada RM1.09 bilion peruntukan untuk pengurusan, sebanyak RM708.5 juta untuk pemberian dan kenaan tetap, emolumen (RM191.08 juta); perkhidmatan dan bekalan (RM142.98 juta); aset (RM4.43 juta) dan RM4.43 juta untuk lain-lain perbelanjaan.

"Selain itu kerajaan negeri memperuntukkan RM136 juta bagi tujuan pendidikan. Daripada jumlah itu, RM121 juta diperuntukan kepada Yayasan Islam Kelantan (YIK), RM4 juta untuk pembangunan dan penyelenggaraan sekolah dan RM8 juta untuk pendidikan prasekolah.

"Sebagai negeri berkebajikan, Jabatan Kebajikan Masyarakat menerima peruntukan sebanyak RM29.50 juta sebagai perbelanjaan mengurus termasuk RM26.06 untuk bantuan-bantuan kebajikan," katanya.