Skip to main
Logo Malaysiakini

Upacara di kuil hari pertama Deepavali untuk kawasan PKPP, PKPB

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Penganut Hindu di kawasan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) dan di kawasan PKP bersyarat (PKPB) akan dibenarkan untuk mengadakan upacara sembahyang di kuil pada hari pertama Deepavali sahaja dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ketat.

Sementara mereka yang berada di kawasan PKP Diperketatkan (PKPD) tidak dibenarkan merentas mukim, daerah atau negeri untuk tujuan balik kampung.

Mereka yang berada di kawasan PKPD juga tidak dibenarkan menyertai upacara sembahyang di kuil.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri berkata keputusan itu dicapai selepas mendengar pembentangan daripada Majlis Keselamatan Negara.

"Sidang khas hari ini bersetuju untuk membenarkan penganut Hindu mengikuti sesi upacara sembahyang pada hari pertama sahaja di kawasan-kawasan yang dilaksanakan PKPP dan PKPB dengan SOP ketat yang telah ditetapkan.

"Walaubagaimanapun, pergerakan merentas Mukim/Daerah/Negeri daripada kawasan PKPB dan PKPD bagi tujuan balik kampung adalah tidak dibenarkan," katanya pada sesi taklimat harian hari ini.

Bagi kuil, antara SOP yang ditetapkan adalah upacara sembahyang hendaklah mematuhi sepenuhnya SOP Pembukaan Rumah Ibadat yang telah dikeluarkan dan tidak melebihi 30 orang pada satu-satu masa tertakluk kepada keluasan ruang kuil dengan penjarakan fizikal.

Sesi upacara sembahyang perlu diadakan bermula jam 7.00 pagi sehingga jam 12.00 tengah hari dengan pembahagian sebanyak 5 sesi sahaja (30 minit setiap sesi) dan diselangi dengan operasi sanitasi selama 30 minit sebelum memulakan sesi baharu.

Sambutan di rumah kediaman

Bagi kawasan PKPP dan PKPB, sambutan perayaan di rumah kediaman jenis landed seperti rumah teres, hanya dalam dalam kalangan keluarga terdekat dan tidak melebihi 20 orang pada satu-satu masa dibenarkan.

Maksimum 10 orang dibenarkan pada satu-satu masa bagi rumah kediaman strata dengan keluasan kurang daripada 1,500 kaki per segi , dan maksimum 15 orang bagi keluasan melebihi 2,500 kaki per segi.

Sementara bagi kawasan PKPD, sambutan perayaan di kediaman hanya dibenarkan bagi seisi keluarga dalam rumah yang sama sahaja dengan mematuhi norma pencegahan termasuklah penjarakan fizikal.

Ismail berkata maklumat lanjut berkenaan SOP boleh dirujuk di laman sesawang MKN.