Skip to main
Logo Malaysiakini

Kedutaan China: Janji akses vaksin tiada kaitan pembebasan kapal nelayan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kedutaan China di Kuala Lumpur menafikan satu laporan memetik sumber mengenai janji Beijing memberi keutamaan kepada Malaysia mendapatkan akses vaksin dengan 'pertukaran' membebaskan 60 warganegara China yang ditahan dalam enam kapal nelayan kerana didakwa menceroboh perairan negara.

Jurucakap kedutaan Tang Tang pada satu kenyataan kepada Malaysiakini berkata laporan oleh Nikkei Asia itu 'mengelirukan pembaca'.

Laporan berkenaan, kata Tang mengaitkan antara "dua kejadian yang tidak ada kena-mengena" iaitu kerjasama vaksin China dan Malaysia dengan pembebasan bot nelayan di perairan Johor itu.

"Pada 9 Oktober, enam kapal nelayan China yang dalam perjalanan ke Afrika terpaksa berlabuh di perairan Malaysia kerana kegagalan mekanikal.

"Atas permintaan agensi-agensi Malaysia yang relevan, syarikat yang berpangkalan di China yang bertanggungjawab terhadap kapal-kapal itu segera meminta izin untuk membolehkan kapal-kapal itu berlabuh secara sah di perairan Malaysia," katanya.

"Ini merupakan kejadian masalah teknikal kapal biasa, yang fakta asasnya jelas dari awal hingga akhir.

"Ini tidak ada hubungannya dengan kerjasama vaksin," tegas Tang, sambil menambah bahawa kapal-kapal itu dibebaskan untuk meninggalkan perairan Malaysia pada 22 Oktober.

Semalam, Nikkei Asia dalam laporan yang merangkumi perkembangan di beberapa negara Asia Tenggara menyorot rundingan secara berhati-hati yang dikatakan melibatkan Menteri Luar China Wang Yi dan Wisma Putra.

Nikkei memetik seorang pegawai Malaysia yang tidak didedahkan mengatakan Wang Yi membuat permintaan itu ketika lawatannya ke Malaysia pada 11 dan 12 Oktober lalu semasa bermesyuarat dengan Menteri Luar Hishammuddin Hussein.

Wang Yi dalam lawatannya pada bulan lalu menjanjikan keutamaan China kepada Malaysia dalam mendapatkan akses vaksin yang dikeluarkan republik itu.

Tang Tang seterusnya menggambarkan lawatan Wang Yi sebagai berjaya yang mencerminkan hubungan erat Malaysia-China.

"Kerjasama vaksin antara kedua-dua negara sedang berjalan baik dan berterusan.

"Ini hasil daripada persaudaraan yang kuat dan kerjasama pragmatik antara China dan Malaysia, yang tidak pernah ada kaitan dan tiada hubungan dengan masalah lain yang tidak relevan," katanya.

Secara keseluruhan, Tang mendakwa laporan itu sebahagian besarnya didasarkan pada spekulasi dan tuduhan yang tidak berasas.

"Penyertaan China dalam kerjasama vaksin antarabangsa didorong atas dasar kemanusiaan, bukan kebimbangan atau kepentingan ideologi mahupun geopolitik," katanya, mengulangi komitmen yang dibuat pada bulan September semasa pertemuan menteri-menteri luar China-Asean untuk akses ke negara-negara anggota.

China dan Malaysia juga merupakan anggota program akses global vaksin Covid-19 (Covax) untuk mendapatkan akses terhadap bekalan vaksin Covid-19.

[Baca laporan asal]


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.