Skip to main
Logo Malaysiakini

Harga dedak tolong jangan naik lagi - penternak

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Penternak berharap kerajaan melakukan sesuatu supaya harga dedak ayam tidak mengalami kenaikan harga lagi.

Penternak ayam kampung Ismail Mohd Ali, 47, berkata dia terbeban, khususnya susulan kenaikan terbaru harga dedak ayam kira-kira seminggu lalu.

“Penternak kecil macam saya ini terasa jugalah dengan kenaikannya.

“Kesan dia tak banyak tapi ada jugalah, mengganggu kita punya modal dan target kita. RM40 lebih itu kita dah boleh beli seguni jagung,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Ismail berkata setiap kampit 50kg dedak ayam digunakankannya mencatatkan kenaikan harga RM2 setiap satu.

Dia memerlukan kira-kira 20 kampit dedak sebulan untuk 1,100 ekor ayam ternakannya.

Beberapa penternak daripada negeri berbeza memberitahu Malaysiakini bahawa terdapat kenaikan harga bagi dedak jenama popular antara RM2 hingga RM4, mengikut negeri dan pembekal.

Sementara itu, Ismail berkata jagung, yang dicampurkan dengan dedak bagi menjimatkan kos, juga mengalami kenaikan harga RM1 bagi setiap kampit 40kg.

‘Drastik’

Selain itu, penternak ayam daripada Kuala Selangor, Mohd Yazid Sulaiman, 43, berkata kenaikan harga dedak ayam memberi kesan kepada penternak kecil-kecilan sepertinya.

“Kenaikan itu begitu drastik bagi saya,” katanya yang meninggalkan karier di Petronas tujuh tahun lepas untuk menjadi penternak sepenuh masa.

Yazid berkata, selain dedak, dia turut memberikan soya pada ternakannya.

Dia yang menternak lebih 15,000 ekor ayam kampung turut menjadi pembekal dedak.

‘Bukan nak kaya’

Sementara itu, penternak baru Hanif Abdul Rahman, 40 mengakui isu kenaikan harga dedak ayam ini semakin membimbangkan.

Katanya, harga dedak ayam dibelinya berharga RM110.50 (kampit 50kg), kenaikan RM2.21 sekilogram - antara 10 hingga 12 peratus.

Hanif Abdul Rahman

Ketiga-tiga Yazid, Ismail dan Hanif berharap pihak berwajib mengambil inisiatif membantu penternak kecil.

“Kami berniaga bukan untuk jadi kaya. Cukup untuk sara keluarga pun jadilah,” katanya yang mempunyai ladang di Trolak, Perak.

Secara purata, Hanif membeli 28 guni dedak setiap bulan.