'Dah dapat Mercedes sekarang MB, exco Kelantan nak naik gaji pula'
Presiden parti Putra, Ibrahim Ali hari ini berkata "rakyat wajar bangkit dan menentang" rancangan kerajaan Kelantan menaikkan gaji wakil rakyatnya.
"Ini bermakna gaji menteri besar, timbalan menteri besar dan exco pun naik sama," katanya pada satu kenyataan kepada Malaysiakini.
Terdahulu hari ini, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohd Amar Abdullah dilaporkan berkata Adun dan barisan exco kerajaan negeri Kelantan bakal menikmati kenaikan gaji pokok antara RM3,000 hingga RM5,000 seorang.
Jelas beliau, kenaikan itu diperlukan bagi mengurangkan jurang perbezaan gaji antara wakil rakyat Kelantan dan negeri-negeri lain.
Bagaimanapun, Ibrahim mempersoalkan kenaikan gaji berkenaan dalam keadaan belanjawan negeri defisit sebanyak RM66 juta.
Jelasnya, negeri lain mampu berbuat demikian kerana pendapatannya lebih baik berbanding Kelantan.
"Ke mana semangat pengorbanan pemimpin yang jaja Islam? 30 tahun rakyat Kelantan kais pagi makan petang. Cukai tanah, cukai pintu dan berbagai cukai urusan tanah naik beratus peratus.
"Bekalan air sentiasa putus dan kotor manakala pekerjaan untuk rakyat habuk tak ada. Rakyat terus berhijrah keluar Kelantan.
"Sebelum ini menteri besar, timbalan menteri besar dan exco dapat Mercedes dan sekarang nak naik gaji pula," kata Ibrahim lagi.
Bagaimanapun, timbalan menteri besar Kelantan pada Januari menjelaskan kerajaan negeri menggunakan kereta jenis Mercedes-Benz sebagai kenderaan rasmi atas faktor keselamatan.
Mohd Amar berkata penggunaan kenderaan rasmi untuk menteri besar itu telah dimulakan sejak era pentadbiran Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat.
"Sebenarnya penggunaan Mercedes-Benz ini adalah zaman Tok Guru (Nik Aziz) lagi.
"Saya masa itu exco, memang pakai Mercedes-Benz E230. Jadi kita hanya tukar Mercedes lama ke baru.
"Faktornya, seperti saya katakan, iaitu faktor keselamatan itu paling besar. Tak sepatutnya ia jadi isu. Tapi sudah menjadi isu, kita nak kata macam mana," jelasnya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai