Skip to main
Logo Malaysiakini

Bekas timbalan pengerusi SPR saran haramkan sementara kempen bersemuka

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dicadangkan supaya "mengharamkan" kempen secara bersemuka dalam pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi bagi mencegah penularan Covid-19.

Bekas timbalan pengerusi SPR, Wan Ahmad Wan Omar, berkata badan itu juga diminta supaya meminimumkan tempoh kempen.

"SPR nak jalankan PRK Parlimen Batu Sapi ni amat rumit, rumit mcm mana? Nak menjamin pengundi Batu Sapi patuhi standard prosedur operasi (SOP).

"Kempen kita boleh haramkan, tidak dibenarkan berkempen sepanjang tempoh kempen. Tempoh kempen juga boleh dihadkan ke tahap yang minimum tiada masalah.

"Kita boleh gunakan cara lain untuk berkempen. Kena perincikan kaedah-kaedah berkempen. Negara kita sekarang teknologi komunikasi sangat canggih jadi kita perhebatkan berkempen melalui media sosial," katanya kepada Malaysiakini, semalam.

Pada 13 Ok lalu, SPR menetapkan PRK Parlimen Batu Sapi, Sabah diadakan pada 5 Disember depan.

Penamaan calon PRK di kawasan parlimen itu ditetapkan pada 23 November manakala hari pengundian pada 5 Disember.

PRK Batu Sapi diadakan susulan kematian penyandangnya Liew Vui Keong pada 2 Oktober dipercayai akibat jangkitan paru-paru.

Pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) Liew yang mewakili Parti Warisan Sabah berjaya memenangi kerusi parlimen Batu Sapi dengan majoriti 4,619 undi dalam pertandingan empat penjuru.

Dalam pada itu Wan Ahmad berkata, PRK Batu Sapi boleh membuka lembaran baru dengan membenarkan calon berkempen media awam seperti radio dan TV.

“Mereka (pengundi) akan berubah mengikut keadaan dan arahan. Jadi kaedah berkempen diperincikan, perketatkan larangan dan perhebatkan berkempen melalui media sosial.

“Benarkan calon untuk berkempen di media awam. Apa salahnya juga benarkan mereka untuk bercakap di radio, menyampaikan mesej kepada rakyat.

"Semua ini boleh dibuat tak perlu pinda undang-undang,” katanya lagi.