Skip to main
Logo Malaysiakini

NGO gesa k'jaan bebaskan kanak-kanak pendatang

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kumpulan hak asasi manusia Lawyers For Liberty (LFL) merakamkan rasa kecewa dengan jumlah bilangan kanak-kanak di pusat tahanan imigresen negara.

NGO itu menggesa agar kerajaan membebaskan kanak-kanak tersebut atas dasar hak asasi manusia untuk mengurangkan risiko dijangkiti Covid-19.

Ini kerana beberapa depot tahanan imigresen dilihat pusat penularan wabak Covid-19 kerana kawasan yang sempit.

Dalam satu kenyataan hari ini, koordinator LFL, Zaid Malek membangkitkan kenyataan Kementerian Dalam Negeri (KDN) baru-baru ini, bahawa 756 kanak-kanak pendatang masih di pusat tahanan imigresen sehingga 26 Oktober.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 405 kanak-kanak masih ditahan tanpa penjaga, di mana sebahagian besar (326 kanak-kanak) dari Myanmar.

Zaid menganggap penahanan tersebut sebagai "tidak berperikemanusiaan" dan mempersoal apakah ada kanak-kanak Myanmar yang ditahan terdiri dari pelarian Rohingya.

"Tidak dapat difahami mengapa pihak berkuasa menganggap bahawa penahanan ratusan kanak-kanak migran dan pelarian adalah satu keputusan yang tepat, di mana kebanyakannya ditahan tanpa penjaga, di pusat-pusat tahanan yang sempit.

"Kerajaan sengaja meletakkan kanak-kanak ini (terdedah) kepada risiko jangkitan Covid-19 ... kanak-kanak ini tidak boleh diperlakukan sebagai penjenayah kerana mereka tidak memasuki negara ini atas kehendak mereka sendiri dan hanya menjadi mangsa keadaan," katanya.

Memetik Konvensyen PBB mengenai Hak Kanak-kanak, Zaid berkata bahawa Malaysia mempunyai tugas untuk bertindak demi kepentingan kanak-kanak.

"Oleh itu, kami sangat mendesak agar kerajaan segera membebaskan kanak-kanak ini dari tahanan, serah kepada ibu bapa, penjaga mereka atau pihak berwajib yang sesuai," katanya.

Malaysiakini telah menghubungi KDN dan Jabatan Imigresen untuk mendapatkan respons.