Skip to main
Logo Malaysiakini

K'tan patut utama rakyat, bukan naik gaji Adun hingga RM5,000 - AMK negeri

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pemuda PKR (AMK) Kelantan berkata kerajaan negeri sepatutnya memikirkan masalah yang ditimpa rakyat negeri itu, bukannya menaikkan gaji wakil rakyat mereka sehingga RM5,000.

Ketua AMK Kelantan, Muhd Hafiz Muhd Kasasi yang terkilan dengan keputusan tersebut juga menyifatkan langkah tersebut sebagai mencari kesempatan, sedangkan rakyat Kelantan berdepan pelbagai isu seperti kos sara hidu, permasalahan sampah-sarap dan isu perkhidmatan bekalan air bersih.

“AMK Kelantan ingin mengajak rakyat Kelantan khususnya menilai sendiri wakil rakyat yang mereka pilih dalam pilihan raya selama ini akan perangai dan tingkah laku mereka yang sentiasa mencari serta mengambil kesempatan dalam tempoh memegang jawatan sebagai wakil rakyat.

“Ini bagi memastikan pada pilihan raya yang akan datang anda semua dapat membuat pemilihan yang tepat demi kelangsungan rakyat Kelantan itu sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Muhd Hafiz berkata kerajaan negeri wajar memberi penekanan terhadap negeri itu dengan membuka peluang pekerjaan yang lebih terjamin.

“Seharusnya bantuan sara hidup juga diberi penekanan dengan kadar segera dalam rakyat mendepani pandemik Covid-19 sekarang. Itu menjadi lebih keutamaan jika nak dibandingkan cadangan kenaikan gaji wakil rakyat,” katanya.

Semalam, Timbalan Menteri Besar, Mohd Amar Abdullah berkata anggota dewan undangan negeri (Adun) dan barisan exco kerajaan negeri Kelantan bakal menikmati kenaikan gaji pokok antara RM3,000 hingga RM5,000 seorang.

Katanya, wakil rakyat di Kelantan diibaratkan seperti pegawai kebajikan kerana ramai masyarakat di kawasan memerlukan perhatian dan bantuan mereka.

Tambahnya, kenaikan itu diperlukan bagi mengurangkan jurang perbezaan gaji antara wakil rakyat Kelantan dan negeri-negeri lain.