Skip to main
Logo Malaysiakini

'Kerajaan perlu beri butiran terperinci peruntukan baik pulih aset ATM'

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kerajaan perlu memperincikan butiran berhubung peruntukan yang disediakan untuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam Belanjawan 2021, menurut bekas Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dan bekas Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong.

Mohamad dan Liew membuat gesaan itu dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini.

“Setelah meneliti ucapan belanjawan 2021 oleh Menteri Kewangan dan Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2021, kami menerima baik beberapa teras usaha kerajaan untuk meningkatkan keupayaan pertahanan negara, khasnya ketika wabak Covid-19.

Akan tetapi, ada beberapa persoalan yang masih timbul dan perlu dijelaskan oleh pihak kerajaan," kata mereka.

Mereka membangkitkan hampir separuh daripada RM4.505 perbelanjaan pembangunan untuk kementerian itu, iaitu kira-kira RM2.3 bilion yang diperuntukkan untuk pemulihan ast ATM.

“Sebaik-baiknya pihak kerajaan perlu memberi butiran lebih terperinci untuk menyatakan, mengikut cabang perkhidmatan, apakah aset-aset tersebut yang akan dibaik pulih?

“Sebaik-baiknya butiran ini diberi ketika waktu perbahasan nanti. Kami juga ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengingatkan sekali lagi pihak kerajaan untuk turut memikirkan isu jangka panjang berkaitan aset-aset ATM,” kata mereka.

Mengulas lanjut, Mohamad dan Liew berkata walaupun tidak membantah peruntukan RM30 juta kepada syarikat Cyber Security Malaysia untuk mengukuhkan keselamatan siber negara, mereka juga ingin tahu sama ada kerajaan turut komited dalam meningkatkan keupayaan pertahanan siber ATM.

“Pada Januari lalu, ketika ucapan sempena ulang tahun ke-87 ATM, Panglima Angkatan Tentera Affendi bin Buang mengumumkan penubuhan Pemerintahan Siber ATM khas untuk menangani aktiviti siber elektromagnetik.

"Kami berharap pihak kerajaan turut bersedia untuk memastikan penubuhan Pemerintahan Siber ATM diberikan perhatian yang secukupnya."

Dalam usaha kerajaan untuk membina 1,000 unit Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) yang baru, mereka juga meminta kerajaan menjelaskan tentang usaha membaik pulih unit-unit RKAT yang didakwa tidak selamat diduduki.

Pada 2019, pentadbiran PH memperuntukkan RM150 juta untuk tahun 2020 bagi memperbaiki sejumlah 6,000 unit RKAT.

“Kami berharap sementara kerajaan ingin bina unit RKAT baru, unit RKAT lama yang tidak selamat diduduki turut diberikan perhatian dan peruntukan juga," kata mereka lagi.