Skip to main
Logo Malaysiakini

Belanjawan: Kelantan hargai usaha bangunkan infrastruktur

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kerajaan Kelantan menghargai usaha kerajaan Persekutuan untuk meningkatkan pembangunan infrastruktur pengangkutan yang bakal memberi impak kepada sosio ekonomi rakyat negeri itu.

Menteri Besar Ahmad Yakob, berkata beliau yakin hubungan baik dengan kerajaan negeri dengan persekutuan membolehkan semua projek diperuntukkan buat Kelantan dapat direalisasikan.

"Bagi negeri Kelantan, fokus Kerajaan Persekutuan untuk meningkatkan pembangunan infrastruktur pengangkutan khususnya melibatkan penerusan pembinaan lebuh raya Central Spine Road (CSR) dan pembinaan jambatan Palekbang ke Kota Bharu di bawah ECER bakal memberi impak sosio ekonomi kepada rakyat negeri Kelantan.

"Saya yakin kerjasama dan hubungan baik di antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan akan memastikan semua projek yang diperuntukkan bagi negeri Kelantan dapat direalisasikan," katanya dalam satu kenyataan.

Secara keseluruhan katanya, Belanjawan 2021 telah menunjukkan keperihatinan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam menjaga kesejahteraan rakyat Malaysia.

Pembinaan lebuh raya Central Spine Road (CSR) dan pembinaan jambatan Palekbang ke Kota Bharu diumumkan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat petang tadi.

Ia sebahagian daripada inisiatif kerajaan bagi menwujudkan keseimbangan pembangunan antara wilayah.

Zafrul mengumumkan, bagi lima koridor wilayah pembangunan ekonomi, projek-projek pembangunan akan diteruskan dengan peruntukan bagi tahun 2021 sebanyak RM780 juta ringgit.

Dalam pada itu, Ahmad berkata belanjawan yang dibentangkan bersifat inklusif, menyeluruh akan menyalurkan pelbagai bantuan dan insentif kepada rakyat termasuk Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dalam menghadapi situasi ekonomi yang mencabar kesan pandemik Covid-19.

Sementara itu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang menyifatkan Belanjawan 2021 melindungi rakyat dan perniagaan serta membantu rakyat untuk melonjak kembali dan menjamin masa depan yang lebih berdaya tahan.

"Belanjawan 2021 adalah sebuah bajet yang amat prihatin dan inklusif. Diharapkan ianya dapat diagih dengan segera dan saksama, bagi meringankan beban yang ditanggung oleh rakyat dan peniaga, seterusnya memacu pemulihan ekonomi negara.

"Saya dan seluruh ahli parlimen PAS mengikuti pembentangan Belanjawan 2021 oleh menteri kewangan hari ini, dan insya-Allah kami akan berbahas bagi menyokong belanjawan yang cukup baik ini," katanya.