Skip to main
Logo Malaysiakini

Covid-19: Ikea Damansara ditutup sehari hari ini

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Ikea Damansara ditutup sehari pada hari ini selepes seorang pekerja sambilan disyaki dijangkiti Covid-19.

"Kami diberitahu pada 6 Nov bahawa salah seorang rakan sekerja sambilan kami disyaki dijangkiti Covid-19 dan kini di bawah jagaan pihak berkuasa sambil menunggu ujian.

“Sebagai tindakan pencegahan proaktif, cawangan kami akan ditutup pada 7 Nov untuk menjalani kerja-kerja sanitasi dan pembersihan, sesuai dengan standard Kementerian Kesihatan. Cawangan kami akan beroperasi semula pada 8 Nov 2020,” kata Ikea Damansara dalam satu kenyataan hari ini.

Kali terakhir pekerja berkenaan bertugas di premis tersebut adalah pada 30 Okt lalu.

Ikea berkata pihaknya kini bekerjasama dengan pegawai kesihatan dan akan mengikut nasihat mereka.

“Di Ikea, kami akan terus melakukan tugas kami dengan memastikan semua langkah pencegahan dilakukan di cawangan kami untuk memastikan keselesaan dan keselamatan semua orang.

"Langkah-langkah ini termasuk aplikasi MySejahtera untuk menjejaki kontak, penanda penjarakan fizikal, pengimbas suhu di semua pintu masuk dan menyediakan sanitizer.

"Kami menggalakkan semua orang melakukan kewajipan mereka dengan menyokong dan mengikut arahan kerajaan untuk mencegah penyebaran Covid-19," kata mereka.

Semalam menyaksikan jumlah kes Covid-19 harian tertinggi di negara ini iaitu sebanyak 1,755 kes, dengan 190 kes adalah dari Lembah Klang.