Polis tahan bekas presiden persatuan pelajar UM, Umany
Polis hari ini menahan bekas pemimpin siswa Universiti Malaya ketika melakukan penyiasatan dan penggeledahan di sebuah rumah.
Bekas presiden Persatuan Pemuda baru Universiti Malaya (Umany) Wong Yan Ke (gambar judul, atas) ditahan selepas polis hadir dan mahu memeriksa kediaman seorang lagi pemimpin siswa Yap Weng Qin di Petaling Jaya.
Yap pada awalnya enggan membenarkan polis masuk tanpa waran geledah.
Wong kemudian merakam siaran langsung Facebook berhubung komunikasinya dengan seorang pegawai polis. Kata Wong, rakaman itu dibuat bagi tujuan keterangan di mahkamah.
Beberapa lelaki berpakaian biasa, dipercayai anggota polis kemudian memintan Wong berhenti merakam selepas siaran langsung Facebook itu berakhir tiba-tiba.
Difahamkan, Wong ditangkap dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya untuk disoal-siasat.
Peguam Chong Kar Yan yang berada di tempat kejadian berkata penangkapan itu kerana merakam video pegawai polis berkenaan.
Susulan penahanan Wong, atas nasihat peguam Yap membenarkan polis melakukan penggeledahan di rumahnya.
Sementara itu, ketua unit pendidikan politik Umany, Liau Pin Chun berkata polis merampas komputer riba dan telefon bimbitnya.
Polis kini sedang menyiasat Yap yang juga presiden Umany sekarang dan naib presiden kumpulan pelajar, Tan Li Yuan di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan dan Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia.
Pada 30 Okt, Umany menyiarkan satu kenyataan sebagai respons terhadap keputusan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah yang menolak cadangan perdana menteri untuk mengistiharkan darurat.
Seri Paduka juga menasihati semua anggota Parlimen untuk menyokong Belanjawan 2021 yang dibentangkan di Dewan Rakyat.
Kumpulan itu berpendapat Agong "tidak boleh campur tangan dalam urusan negara; tetapi harus mengekalkan sikap berkecuali dan memainkan peranannya dalam kerangka yang dibenarkan oleh perlembagaan ”.
Mereka berpendapat di bawah Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan, Agong harus bertindak sesuai dengan nasihat kabinet kecuali dalam tiga perkara: pelantikan perdana menteri, menolak permintaan untuk membubarkan Parlimen dan mengadakan pertemuan dengan Raja-raja Melayu.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai