Skip to main
Logo Malaysiakini

Zafrul nafi potong peruntukan khidmat kesihatan, buka buku anggaran

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz menolak dakwaan bahawa peruntukan kesihatan awam telah dikurangkan di bawah Belanjawan 2021 berbanding tahun lalu.

Beliau menjelaskan tidak ada bahagian peruntukan penjagaan kesihatan yang dikurangkan, dan berkata hanya beberapa perkara yang diklasifikasikan di bawah dokumen anggaran perbelanjaan persekutuan.

"Hakikatnya, di dalam Buku Anggaran Hasil dan Perbelanjaan Kerajaan, jumlah bagi bekalan perubatan serta bahan guna habis (consumables) sebanyak RM4.29 bilion telah diasingkan dan diperuntukkan di bawah butiran 080000 (Program Khusus). 

"Ini termasuk Bekalan Perubatan Fasiliti Perubatan Kerajaan sebanyak RM2.89 bilion dan Konsesi Penswastaan Makmal Ubat sebanyak RM1.4 bilion.

"Inilah sebabnya mengapa jumlah peruntukan di bawah butiran 020000 (Perubatan) menunjukkan ‘pengurangan’ daripada RM14.2 bilion (2020) kepada RM11.3 bilion (2021). Butiran ini mengandungi peruntukan bagi pelbagai bidang kepakaran kesihatan termasuk nefrologi dan farmasi.

"Hakikat yang sebenar: tiada bidang kepakaran yang mengalami pengurangan peruntukan.

Bekas menteri kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad awal hari ini berkata selepas menolak emolumen RM1.5 bilion untuk kakitangan kontrak, maka jumlah peruntukan sebenar kepada Kementerian Kesihatan adalah berjumlah RM30.4 bilion berbanding RM30.6 bilion pada 2020.

Pemotongan itu dilaporkan merangkumi program perubatan, kesihatan awam, kesihatan pergigian, perkhidmatan farmasi, penyelidikan dan sokongan teknikal.

Zafrul pada hantaran di Facebook pada malam ini berkata kerajaan juga memperuntukkan RM24 juta bagi menangani isu kesihatan mental melalui pengukuhan Program Kesihatan Mental, Pencegahan Keganasan dan Kecederaan serta Penyalahgunaan Substans.

Katanya lagi, kerajaan juga membuat beberapa peruntukan yang tidak termasuk dalam anggaran perbelanjaan persekutuan, tetapi sebaliknya diperuntukkan secara berasingan di bawah dana Covid-19

Ini termasuklah: "RM475 juta sebagai peruntukan tambahan untuk bekalan reagen dan bahan guna habis yang diperlukan berkaitan Covid-19; RM318 juta bagi penyediaan peralatan PPE dan hand sanitiser kepada petugas barisan hadapan kita; RM150 juta kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara bagi menyelaras usaha memerangi Covid-19; RM50 juta bagi perolehan peralatan, bekalan ujian makmal dan ubat-ubatan di Hospital Pengajar Universiti serta menambah peralatan pengoperasian fasiliti pergigian, perkhidmatan klinik secara maya serta penyediaan fasiliti zon saringan dan termometer di kemudahan kesihatan bagi memenuhi SOP norma baru."