Skip to main
Logo Malaysiakini

KPDNHEP Kelantan minta rakyat usah buat pembelian panik

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan memberi jaminan bekalan makanan serta barang keperluan harian di negeri itu mencukupi walaupun kebanyakan negeri dikenakan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) mulai 9 Nov.

Pengarahnya, Adnan Abd Rahman, berkata sebagai pihak yang bertanggungjawab mengawal selia perbekalan makanan menasihatkan pengguna supaya mematuhi segala arahan dan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan.

Pengguna juga diingatkan agar tidak melakukan pembelian panik kerana tiada keperluan untuk mereka menyimpan barangan berlebihan kerana keadaan tetap terkawal manakala bekalan yang diperlukan adalah mencukupi.

"Pembelian panik hanya akan menyebabkan bekalan barangan habis dengan lebih cepat di sesuatu premis daripada sepatutnya.

"Pembelian panik juga mengundang pelbagai masalah sampingan kepada pengguna dari segi perbelanjaan isi rumah dan pembaziran disebabkan tarikh luput sesuatu barangan yang dibeli tanpa penelitian," katanya dalam kenyataan media di Kota Bharu, hari ini.

Kenyataan itu dibuat sebagai respon kepada PKPB yang diumumkan kerajaan ke atas hampir semua negeri kecuali Kelantan, Pahang dan Perlis.

Adnan berkata, seperti pengalaman pada PKP lalu, perintah yang dikenakan sekarang hanya bersifat sementara.

Pekedai pula katanya tidak menyimpan stok yang banyak di premis masing-masing dan memerlukan masa untuk pembekal menghantar stok baru.

"Disebabkan PKPB kali ini hanya membabitkan kawasan yang terhad dan Kementerian Pengangkutan juga memberi jaminan semua kenderaan komersial bagi mengangkut barangan dibenarkan terus beroperasi seperti biasa, KPDNHEP yakin tiada gangguan yang akan berlaku.

"Kita menyeru dan meminta semua pihak supaya kekal bertenang dan rasional. Peniaga juga diingatkan agar tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga jualan masing-masing atas pelbagai alasan," jelasnya.

Sehubungan itu tambahnya, seramai 137 pegawai penguat kuasa dan 94 pegawai pemantau harga KPDNHEP Kelantan akan sentiasa berada di lapangan dan menilai keadaan, seterusnya mengambil tindakan dengan segera jika perlu.

Selain itu katanya dalam perkembangan mengenai pemeriksaan pelitup mulut dan hidung dan cecair pembasmi kuman, KPDNHEP Kelantan telah menjalankan pemeriksaan di 6,691 premis termasuk pemborong, pasar raya, farmasi dan peruncit.

"Aduan awam yang diterima setakat ini dengan empat aduan peniaga tiada tanda harga, dan harga melebihi yang dikawal.

"Namun, hasil pemeriksaan menyeluruh KPDNHEP Kelantan merekodkan tindakan ke atas lima kes dengan nilai rampasan RM567.80.

"Siasatan diteruskan dengan mengenakan tindakan denda kompaun sebanyak RM31,500. Justeru, KPDNHEP Kelantan terus komited memastikan topeng muka dan hand sanitiser sentiasa berada dalam pasaran Kelantan," katanya.