Skip to main
Logo Malaysiakini

Pasukan sukarelawan Covid-19 Desa Puteri dibubar lepas tiada lagi kes positif

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pasukan petugas khas yang terdiri daripada sukarelawan ditubuhkan penduduk di taman perumahan Desa Puteri, Bandar Tasik Puteri di Rawang, Selangor dibubarkan secara rasmi selepas individu yang positif Covid-19 di kawasan itu pulih sepenuhnya.

Menurut pengerusi persatuan penduduk Desa Puteri, Joseph Ninting Janting, taman itu tidak mencatatkan sebarang kes baru sejak 30 Okt lalu, manakala pesakit terakhir yang keluar dari wag pula adalah pada Jumaat lepas (6 Nov).

Joseph meluahkan penghargaannya buat semua pihak yang banyak membantu pasukan petugas khas “Kita Jaga Kita Desa Puteri” sepanjang sebulan ia beroperasi, termasuklah komuniti setempat, NGO, ahli majlis Zon 19, Majlis Perbandaran Selayang, parti politik serta individu.

Bantuan yang diterima termasuklah dalam bentuk sumbangan makanan asas seperti beras, telur, gula, garam, kicap, bihun, roti, ikan, ayam dan sebagainya.

Joseph turut mengucapkan terima kasih buat beberapa wakil rakyat yang mengambil berat akan nasib penduduk seperti exco Kesihatan Awam Selangor Dr Siti Mariah Mahmud yang juga Adun Seri Serdang; Adun Kuang, Sallehudin Amirudin; serta ahli parlimen Selayang, William Leong Jee Keen.

“Bagi mengingati peristiwa bersejarah ini saya memutuskan agar satu peringatan diabadikan di taman perumahan kami iaitu membina tiang bendera Desa Puteri dengan memahatkan nama task force ‘Kita Jaga Kita Desa Puteri’.

“[...] Ini adalah kekuatan task force bertahan sepanjang satu bulan menghadapi suasana getir ini,” katanya kepada Malaysiakini.

Penduduk di taman itu mengambil inisiatif menguarantin diri sendiri setelah seorang penduduk dikehendaki membuat ujian swab Covid-19 pada 7 Okt sebelum disahkan positif dua hari kemudian.

Pasukan petugas khas itu juga ditubuhkan secara rasmi pada 9 Okt, di taman yang dianggarkan mempunyai 477 rumah dan kira-kira 2,000 penduduk itu.

Tanpa inisiatif kuarantin oleh penduduk, kata Joseph, bilangan positif dijangka menjadi lebih tinggi berbanding yang dicatatkan sejak sebulan lalu.

Sehingga pasukan itu dibubarkan, sebanyak 41 kes positif Covid-19 disahkan, melibatkan taman itu sahaja.

Selain menjaga kebajikan dan makan-minum ahli keluarga penduduk yang terpaksa diwadkan kerana Covid-19, sepanjang sebulan beroperasi, pasukan petugas itu memberikan sokongan moral buat pesakit di hospital dan yang menjalani kuarantin wajib di rumah, menerusi aplikasi sembang.

Pasukan itu juga menjalankan telesidang menerusi Google Meet bagi memberikan perkembangan semasa jangkitan, malah turut mengadakan sesi bacaan surah Yasin pada setiap malam menerusi aplikasi sama, yang turut disertai penduduk yang sedang menjalani rawatan Covid-19 di hospital.

Pengerusi surau taman itu, Suryadi Mohamed, meluahkan rasa kagum dengan semangat dan kerjasama oleh penduduk sepanjang sebulan lalu.

“Pada mulanya saya sangat risau dengan apa yang berlaku kerana sebilangan jemaah Surau al-Hidayah positif [...].

“Saya sendiri tidak menjangkakan apa yang berlaku. Angka 41 kes kumulatif positif di Desa Puteri amat tinggi. Namun task force dapat mengatasi musibah ini,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Haris Ibrahim, meluahkan rasa syukur kerana kawasan itu kini bebas daripada Covid-19, namun menasihatkan penduduk terus menjaga keselamatan diri masing-masing daripada dijangkiti wabak berkenaan.

"Secara rasminya pasukan petugas khas ini telah dibubarkan kerana tiada lagi kes positif Covid-19 di kawasan ini.

"Semua kes positif telah selesai. Bagaimanapun kita minta masyarakat untuk terus menjaga keselamatan diri kerana virus ini kita tidak nampak.

"Proses nyah kuman juga turut dilakukan di surau," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.