Skip to main
Logo Malaysiakini

Pentadbiran baru AS diharap bawa perubahaan konflik Israel- Palestin

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

PARLIMEN l Malaysia meletakkan harapan pentadbiran baharu Amerika Syarikat (AS) dapat membawa perubahan kepada konflik Israel-Palestin, kata Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar.

"Perkembangan politik dan perubahan pentadbiran Amerika Syarikat sedang kita pantau khususnya dalam soal Palestin dan lain-lain.

"Kita letakkan harapan supaya perubahan pentadbiran di Amerika Syarikat dan kenyataan-kenyataan yang kita baca sebelum ini, memberi sedikit harapan positif untuk perubahan yang lebih baik dalam suasana Palestin-Israel ini," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) berhubung pandangan Wisma Putra sama ada hubungan Palestin-Israel akan lebih baik di bawah pentadbiran Presiden AS yang dipilih Joe Biden.

Dilaporkan, Biden yang mewakili Parti Demokratik secara rasmi mengumumkan kejayaannya pada Sabtu serta berikrar menjadi presiden yang berusaha memperbaiki perpecahan dalam negara dan "membuat Amerika kembali dihormati di seluruh dunia".

Dalam pada itu, Kamarudin berkata kerajaan Malaysia berpendirian teguh untuk sentiasa menyokong pembentukan sebuah negara Palestin yang berdaulat melalui Penyelesaian Dua Negara (Two-State Solution) berdasarkan garis sempadan 1967 dengan Baitulmaqdis sebagai ibu kota Palestin.

Jelasnya, Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) Dr Yousef Al-Othaimeen juga mengulangi sokongan padu OIC terhadap Palestin dan menekankan bahawa isu Palestin dan Al-Quds merupakan punca utama penubuhan OIC dan merupakan sumber kekuatan serta perpaduan OIC.

“Dalam menyelesaikan isu Palestin, beliau (Al-Othaimeen) turut menegaskan bahawa OIC sentiasa berpegang teguh kepada undang-undang antarabangsa, Inisiatif Damai Arab (Arab Peace Initiative) dan Penyelesaian Dua Negara. OIC sentiasa menyokong usaha-usaha bagi membolehkan rakyat Palestin mencapai aspirasi dan hak-hak mereka yang sah,” katanya.

Kamarudin menjawab soalan asal Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS-Sik) mengenai langkah proaktif bersama badan antarabangsa seperti OIC bagi menyatakan bantahan berkaitan rancangan ketidakadilan normalisasi Israel untuk mengiktiraf penjajahan mereka ke atas Palestin.

Mengenai beberapa negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang mengadakan hubungan diplomatik dengan Israel, beliau berkata ia merupakan hak mutlak negara yang berdaulat dan kerajaan Malaysia mengamalkan polisi tidak campur tangan dalam urusan domestik negara lain.

“Atas prinsip ini juga, ia tidak akan menggugat hubungan baik Malaysia dengan negara-negara lain yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel,” katanya.

- Bernama