Skip to main
Logo Malaysiakini

Nahas heli: Laporan bedah siasat mangsa diserah ke polis

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Laporan bedah siasat mangsa helikopter terhempas di Taman Melawati sudah diserahkan kepada polis, kata Pengarah Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM (HCTM) Prof Datuk Dr Hanafiah Harunarashid.

Beliau berkata bedah siasat kedua-dua mangsa Allahyarham Komander (B) Mohamed Sabri Baharom dan Mohd Irfan Fikri Mohamed Rawi, masing-masing selesai pada pukul 11.15 pagi serta pukul 1.15 tengah hari tadi.

“Kita menerima dua jenazah itu petang semalam dan telah dilakukan saringan Covid-19, CT scan dan x-ray juga pada semalam, sebelum bedah siasat mula dilakukan kepada jenazah Sabri pukul 9 pagi tadi oleh pakar forensik HCTM.

“Polis akan mengeluarkan kenyataan mengenai keputusan bedah siasat itu,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau turut mengesahkan waris kedua-dua mangsa telah membuat pengecaman terhadap jenazah terbabit, sebelum bedah siasat dimulakan.

“Bagi pihak hospital, kami ingin merakamkan ucapan ribuan takziah kepada keluarga kedua-dua mangsa,” katanya.

Dalam kejadian semalam, dua helikopter dipercayai berlanggar di udara, sebelum sebuah daripadanya terhempas kira-kira 12 tengah hari di Taman Melawati, Ampang dekat Kuala Lumpur.

- Bernama