Pemandu, penumpang ke Kelantan dari zon merah perlu jalani saringan Covid-19
Mulai esok, semua pemandu dan penumpang kenderaan dari Zon Merah yang memasuki Kelantan dikehendaki menjalani ujian saringan Covid-19, kata Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kelantan Jefny Muhamad.
Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas mesyuarat khas yang dijalankan MKN bersama beberapa agensi berkaitan hari ini berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di semua negeri di Semenanjung kecuali Perlis, Kelantan dan Pahang mulai 9 Nov hingga 6 Dis.
“Semua pemandu kenderaan dan penumpang terutama dari zon merah seperti Selangor dan Kuala Lumpur akan diminta menjalani ujian bagi memastikan mereka bebas daripada Covid-19.
“Selain itu, sesetengah daripada mereka juga akan dipakaikan gelang mengikut warna tertentu yang ditetapkan Jabatan Kesihatan bagi menunjukkan mereka dari zon merah," katanya di Kota Bharu hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Kelantan DCP Shafien Mamat berkata empat sekatan jalan raya di sempadan negeri itu iaitu di Bukit Yong dan Tok Bali masing-masing dalam jajahan Pasir Puteh serta di Gua Musang dan Jeli akan diperketatkan mulai tengah malam ini.
Bercakap kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, Shafien menasihatkan mana-mana pihak yang tidak mempunyai urusan penting di negeri itu agar menangguhkan terlebih dahulu hasrat untuk ke Kelantan bagi mengelak penularan Covid-19.
- Bernama
Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai