Skip to main
Logo Malaysiakini

30 kes keganasan rumah tangga di S'gor babitkan mangsa lelaki

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Sebanyak 30 kes keganasan rumah tangga melibatkan mangsa lelaki direkodkan di Selangor sejak Januari hingga September lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Dr Siti Mariah Mahmud berkata dalam tempoh sama juga, sebanyak 224 kes keganasan rumah tangga melibatkan mangsa wanita direkodkan menjadikan jumlah keseluruhan 254 kes.

“Daripada kes keganasan rumah tangga yang dilaporkan, antara jenis keganasan yang sering dilakukan adalah menyebabkan kecederaan atau mencederakan mangsa secara fizikal, sengaja atau cuba meletakkan mangsa dalam ketakutan kecederaan fizikal dan penderaan secara psikologi serta emosi.

Berdasarkan laporan yang diterima Unit Perundangan dan Penguatkuasaan Jabatan Kebajikan Masyarakat, kebanyakan kes keganasan rumah tangga melibatkan mangsa lelaki pula adalah berlaku sama ada ke atas suami, bapa, anak lelaki atau datuk,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Minggu Kempen Hentikan Keganasan Terhadap Wanita di lobi Dewan Undangan Negeri Selangor, di Shah Alam hari ini.

Katanya, daerah yang merekodkan kes keganasan rumah tangga tertinggi adalah Hulu Langat (70 kes) diikuti Gombak (34 kes), Subang Jaya (31 kes), Klang (29 kes), Petaling (25 kes), Shah Alam (22 kes), Kuala Langat (18 kes), Hulu Selangor (11 kes), Sepang (sembilan kes), Kuala Selangor (tiga kes) dan Sabak Bernam (dua kes).

Dr Siti Mariah berkata berdasarkan trend yang diterima oleh “Women Aid’s Organization (WAO)”, peningkatan kes keganasan rumah tangga di Selangor dilihat sangat mendadak semasa penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac sehingga PKP Bersyarat (PKPB) pada Oktober lepas dengan 4,872 panggilan dan mesej menerusi WhatsApp diterima organisasi itu.

Justeru katanya, kerajaan negeri bekerjasama dengan WAO di bawah Program Komuniti Selamat Bersepadu bagi membiayai kos perkhidmatan bantuan krisis untuk penduduk di Selangor meliputi perubatan, tempat tinggal, pengangkutan, makan minum dan panggilan telefon.

“Sepanjang April hingga Jun lepas, sebanyak 16 wanita, enam kanak-kanak lelaki, lima kanak-kanak perempuan, empat bayi lelaki dan dua bayi perempuan telah dilindungi (daripada kes keganasan rumah tangga) dengan jumlah perbelanjaan RM11,466.50,” katanya.

- Bernama