Artikel peranan Agong: Polis panggil presiden KMUM, 6 aktivis siswa
Presiden Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) Haziq Azfar Ishak dan enam aktivis pelajar dipanggil polis berhubung artikel mengenai peranan Yang di-Pertuan Agong yang kini disiasat di bawah Akta Hasutan 1948.
KMUM merupakan organisasi tertinggi yang menaungi keseluruhan persatuan di kampus itu, manaka enam aktivis siswa itu pula merupakan anggota Persatuan Pemuda Baru Universiti Malaya (Umany).
Menurut Presiden Umany Robin Yap, enam aktivis siswa itu merupakan ahli jawatankuasa pusat Umany serta datang dari Johor, Perak, Negeri Sembilan dan Melaka.
Enam siswa itu diringi peguam masuk ke ibu pejabat polis daerah Kajang pada jam 12.30 tengah hari tadi dan beredar kira-kira jam 2 petang tadi.
Sementara itu, Haziq di panggil hadir sebagai saksi di ibu pejabat polis yang sama dan pernyataannya dirakam selama kira-kira setengah jam dari jam 9 malam tadi.
Umany berkata selain membantu siasatan polis mengenai artikel Umany, polis juga menyoal Haziq mengenai latar belakang, struktur organisasi dan operasi Umany sebagai badan pelajar Universiti Malaya.
Salah seorang peguam yang mewakili aktivis Umany, Wang Guan Hui, memberitahu media bahawa mereka dipanggil sebagai saksi untuk membantu siasatan polis terhadap kes tersebut.
Katanya, pelajar berkenaan memberikan pernyataan mereka selama kira-kira satu setengah jam, tetapi tidak diketahui sama ada mereka akan didakwa.
Menurut Wang, polis juga berkata terdapat 70 laporan telah dibuat mengenai kes tersebut.
Terdahulu, di luar balai, kumpulan aktivis siswa mengangkat sepanduk bertulis "kebebasan bersuara" dan "jangan bisukan kami."
Timbalan Pengerusi PSM S Arutchelvan, Setiausaha Pemuda DAP Eric Teh Hoong Keat, bekas presiden Umany Wong Yan hadir di balai untuk menunjukkan sokongan mereka kepada siswa berkenaan.
UM jalankan siasatan dalaman
Khamis lalu, polis merakam kenyataan Yap dan naib presiden persatuan itu, Tan Li Yuan.
Selain daripada Akta Hasutan, kedua-dua pemimpin siswa ini juga disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
Siasatan dijalankan selepas terdapat lebih 40 laporan polis dibuat terhadap artikel itu, yang berpendapat Agong "tidak boleh campur tangan dalam urusan negara; tetapi harus selalu mengekalkan sikap berkecuali dan memainkan peranannya dalam kerangka yang dibenarkan oleh perlembagaan".
Kenyataan itu sebagai tindak balas kepada penolakan Agong terhadap cadangan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk mengisytiharkan darurat dan nasihat baginda kepada semua anggota parlimen untuk menyokong RUU Belanjawan 2021 pemerintah.
Sementara itu, Universiti Malaya juga sedang menjalankan siasatan dalaman terhadap kes tersebut.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai