Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Kenapa hendak dirahsiakan?

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Bukan semua berita buruk dan menyedihkan pada zaman Covid-19 ini.

Pada saat-saat ratusan ribu rakyat jelata hilang mata pencarian dan jutaan orang dalam kesusahan akibat wabak itu, ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kelantan mendapat kenaikan gaji.

Ada 45 orang ahli dalam DUN Kelantan - 37 PAS, tujuh Umno dan seorang Bersatu.

Rang Undang-undang Saraan Anggota Pentadbiran dan Adun Pindaan 2020 itu diluluskan dengan sokongan sebulat suara.

Laporan media menyatakan, jumlah kenaikan dan belanja yang diperlukan tidak disebutkan, tetapi portal berita Malaysiakini sebelum ini menyebut ia adalah antara RM3,000 hingga RM5,000 seorang sebulan.

Kenapa hendak dirahsiakan? Ini duit cukai rakyat jelata dan hasil mahsul negeri Kelantan. Lagipun, katanya para yang berhormat yang dapat durian runtuh itu akan berkongsi dengan rakyat jelata melalui sedekah.

Kalau ikut data Jabatan Perangkaan Negara, Kelantan adalah negeri nombor dua paling miskin di Malaysia selepas Sabah.

Tapi pemimpin PAS Kelantan ada gaya dan selera. Januari lalu, sebaik saja terima bantuan "one off" sebanyak RM400 juta daripada Kerajaan Pakatan Harapan - ya, yang menteri kewangannya dari DAP - mereka terus membeli 14 buah kereta mewah Mercedes Benz untuk menteri besar dan exco.

Khabarnya mereka belanja RM3.5 juta. Negeri kaya macam Selangor dan Pulau Pinang pun pakai kereta Toyota Camry saja.

Pada 19 Sept lalu, anak kebanggaan Kelantan - Mustapa Mohamed - dalam ucapan di Kota Kinabalu berkata, kadar kemiskinan di Kelantan ialah 12.4 peratus atau bersamaan 42,671 isi rumah.

Kelantan ni bolehlah dikatakan selama-lamanya akan ada di tangan PAS. Tapi selama-lamanya juga kekal negeri paling miskin di Semenanjung.

Oleh sebab itulah saya kata, kita jangan percaya sangat dengan orang yang terpekik terlolong cakap pasal agama, bangsa dan negara. 


A KADIR JASIN ialah bekas ketua pengarang kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd dan penasihat media kepada Dr Mahathir Mohamad.

Tulisan ini asalnya disiarkan di media sosial beliau dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.