Skip to main
Logo Malaysiakini

Salah rakam gambar polis sedang buat siasatan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Tindakan merakam gambar atau video pihak polis sedang menjalankan siasatan merupakan kesalahan bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan, iaitu menghalang tugas penjawat awam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed berkata demikian dalam kenyataan hari ini susulan penahanan seorang lelaki 23 tahun.

Kenyataan itu tidak menyebut nama individu ditahan, namun dipercayai merujuk kepada bekas presiden Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (Umany) Wong Yan Ke.

"Perlu diingatkan setiap siasatan adalah sulit dan tidak boleh didedahkan sewenang-wenangnya, apatah lagi jika ditularkan di media sosial.

"PDRM menegaskan bahawa tindakan merakam gambar atau video bukan satu kesalahan jenayah.

“Bagaimanapun, demi kepentingan siasatan, sekiranya gambar atau video tersebut dikongsi, disebar dan ditularkan di media sosial atau apa jua cara sekalipun, ia boleh mengganggu proses siasatan polis.

"Dan juga bertentangan dengan peruntukan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," kata Huzir.

Wong Yan Ke

Wong ditangkap polis pada 7 Nov ketika polis melakukan serbuan ke atas penggantinya, Yap Wen Qing, di Petaling Jaya.

Beberapa lelaki berpakaian biasa - dipercayai anggota polis - dikatakan meminta Wong berhenti merakam, sebelum video siaran langsung di Facebook itu terhenti tiba-tiba.

Dia dibebaskan dengan jaminan polis.

Polis menyiasat kumpulan pelajar itu bawah Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Siasatan itu dibuat susulan kenyataan kumpulan berkenaan pada 30 Okt berkaitan keputusan Yang di-Pertuan Agong tidak mengisytiharkan darurat seperti dicadangkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Penangkapan Wong turut dikritik oleh beberapa kumpulan seperti Transparency International-Malaysia dan Bersih 2.0.

Kumpulan itu mendakwa polis berat sebelah kerana Yang Dipertua Dewan Negara Rais Yatim turut membangkitkan isu sama di Twitter pada 25 Okt.

Kedua-dua Rais dan Umany merujuk kepada Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan, bahawa raja mesti bertindak berpandukan nasihat kabinet, kecuali dalam isu pelantikan perdana menteri, menolak pembubaran parlimen dan mengadakan pertemuan antara raja-raja Melayu.