Skip to main
Logo Malaysiakini

Warga India mengaku salah tak isi buku rekod ketika beli makanan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Seorang tukang gunting rambut warga India mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Selayang di Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan tidak mencatat butiran peribadi pada buku daftar pelanggan semasa membeli makanan di sebuah restoran ketika penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Sonu Kumar, 22, selaku Orang Kena Saman (OKS) membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan.

Lelaki itu didakwa dengan sengaja tidak menulis butiran peribadi pada buku daftar pelanggan dalam kawasan tempat jangkitan yang menghendakinya menulis butiran berkenaan ketika berada di tempat awam di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan ) 2020 yang sedang berkuat kuasa mulai 1 Sept hingga 31 Dis 2020.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Restoran Medan Selera Selayang Jaya, Gombak di sini pada pukul 9.45 malam, 28 Okt lepas mengikut Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit yang membawa hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara yang boleh sampai enam bulan atau kedua-duanya.

Sonu turut mengaku bersalah atas pertuduhan tinggal di Malaysia menggunakan visa yang tamat tempoh pada tempat, masa dan tarikh yang sama mengikut Seksyen 15(1) (C) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15(4) akta sama, yang memperuntukkan denda tidak kurang RM10,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisak Hassni tidak menawarkan jaminan manakala Sonu yang tidak diwakili peguam tidak membuat sebarang rayuan.

Mahkamah menetapkan 5 Jan depan untuk menjatuhkan hukuman terhadap lelaki itu.

-Bernama