Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis potong elektrik kedai judi di Batu Kurau

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Polis bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) bertindak memotong bekalan elekritk sebuah premis di Taman Kurau Aman, Batu Kurau, dekat Taiping hari ini kerana terlibat dalam aktiviti perjudian dalam talian.

Ketua Polis Daerah Taiping ACP Osman Mamat berkata tindakan TNB bersama polis itu dilakukan bagi membendung aktiviti perjudian di kawasan itu yang menjadi kegusaran penduduk sekitarnya.

Beliau berkata siasatan mendapati premis perjudian tersebut beroperasi 24 jam sehari dan pengusahanya menggunakan pintu belakang sejak dua bulan lalu dan pelanggan yang datang akan membuat tambah nilai (bayaran) secara pandu lalu.

"Kita bertindak serius untuk membendung aktiviti perjudian dalam talian dan perjudian lain di daerah ini. Semasa operasi, pemilik tidak berada di premis itu," katanya dalam sidang media selepas operasi tersebut di sini.

Osman berkata operasi pada pukul 10.30 pagi itu membabitkan beberapa kakitangan TNB dan tindakan pemotongan bekalan elektrik dlakukan mengikut Seksyen 41C Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 21 A akta yang sama.

Beliau berkata pihaknya juga akan memohon kepada Majlis Perbandaran Taiping (MPT) untuk membatalkan lesen perniagaan premis tersebut.

Katanya, sejak awal tahun lebih 40 kes tangkapan aktiviti perjudian dalam talian dikenakan tindakan di daerah Taiping dan meminta masyarakat supaya memberikan maklumat mengenai sebarang kegiatan jenayah itu.

-Bernama