Skip to main
Logo Malaysiakini

NGO gesa tarik balik cukai rokok import transhipment

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Sebuah NGO menggesa Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz menarik balik cadangan mengenakan cukai bagi kemudahan pulang balik atau drawback ke atas semua rokok import bagi tujuan pemindahan barang ke kapal (transhipment) dan eksport semula dalam Belanjawan 2021.

Transhipment bermaksud membawa kontena mengandungi rokok yang diletakkan di zon bebas cukai di pelabuhan sebelum dieksport ke negara lain.

Menurut Gagasan Sosial Dinamik, langkah kerajaan itu bukan sahaja mengakibatkan pemegang lesen sah rokok import gulung tikar, malah turut memperkecilkan peranan Jabatan Kastam DiRaja Malaysia selaku pihak yang mengawal pintu masuk negara.

Presidennya, V Thiagarajen berkata langkah itu secara tidak langsung akan menggalakkan penjualan rokok tiruan atau rokok yang tidak membayar cukai secara besar-besaran di negara ini.

"Menteri perlu segera tarik balik cadangan ini agar menyelamatkan perniagaan rokok import oleh pemegang lesen sah," katanya kepada pemberita di perkarangan Pejabat Kementerian Kewangan, PutraJaya, petang tadi.

Terdahulu, Thiagarajen menyerahkan satu memorandum kepada menteri agar menarik balik cadangan tersebut yang berkuatkuasa 1 Januari 2021.

"Mengenakan cukai pulangan balik terhadap pengimport rokok import tidak akan membantu mencegah atau memperketatkan kawalan terhadap rokok penyeludupan.

"Sebaliknya, ini memperkecilkan peranan Kastam sebagai 'gatekeeper', seolah-olah mereka gagal dalam misi mencegah penyeludupan rokok sehingga kerajaan memperkenalkan cukai pulangan balik," katanya.

Ketika membentangkan Belanjawan 2021, Tengku Zafrul berkata kerajaan bakal mengenakan cukai dengan kemudahan pulang balik atau drawback ke atas semua rokok import bagi tujuan transhipment dan eksport semula

Selain itu kerajaan juga mengehadkan aktiviti transhipment kepada pelabuhan tertentu sahaja dan tidak membenarkan eksport semula rokok menggunakan bot kumpit.