Skip to main
Logo Malaysiakini

Kebenaran penjawat awam kerja dari rumah diperluas ke seluruh negara

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Bagi menangani kesulitan ibu bapa yang perlu menjaga anak susulan sekolah ditutup berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kerajaan hari ini bersetuju memperluas arahan bekerja dari rumah membabitkan penjawat awam seluruh negara.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob, berkata sebelum ini arahan itu hanya tertakluk kepada penjawat awam di negeri-negeri yang dikenakan PKPB.

“Apabila Menteri Pendidikan umum sekolah ditutup di negeri yang dilaksanakan PKPB kecuali Pahang, Perlis dan Kelantan, maka timbul isu, iaitu kesulitan bagi ibu bapa yang mempunyai anak kecil untuk ditinggalkan di rumah.

“Jadi tak boleh hantar anak ke tadika dan sekolah, anak pun di rumah tiada siapa jaga. Oleh itu, mesyuarat hari ini berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan akhirnya kita bersetuju untuk memperluaskan kebenaran bekerja dari rumah di sektor awam di setiap negeri.

“Ini termasuk diperluaskan ke negeri bukan PKPB seperti Kelantan, Pahang dan Perlis.

"Jadi kerja dari rumah diperluaskan ke seluruh negara ketika ini," katanya pada sidang media harian, di Putrajaya, hari ini.