Skip to main
Logo Malaysiakini

Kurang 7 peratus pelajar Cina, India ke sekolah kebangsaan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Berdasarkan rekod Kementerian Pendidikan peratus penyertaan kaum Cina dan India di sekolah kebangsaan mencatatkan trend penurunan sepanjang tahun 2010 hingga 2020 tetapi kekal stabil di kalangan kaum Melayu.

Penyertaan kaum Melayu dilaporkan pada "sekitar 93 peratus sehingga 94 peratus" dan adalah kumpulan majoriti.

“Penyertaan kaum Cina menunjukkan trend penurunan dari 1.17% pada tahun 2010 kepada 0.73 peratus pada tahun 2020.

“Peratus penyertaan kaum India juga mencatatkan penurunan daripada 3.15 peratus kepada 2.63 peratus dalam tempoh yang sama.

“Selain itu, bagi lain-lain kaum, terdapat sedikit peningkatan iaitu daripada 2.00 peratus pada tahun 2010 kepada 2.84 peratus pada tahun 2020,” kata Menteri Pendidik Radzi Jidin dalam jawapan bertulis parlimen kepada Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Pemimpin PKR itu meminta menteri menyatakan pecahan kaum di sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil serta sekolah swasta antara tahun 2010 hingga 2010.

Walau bagaimanapun tidak ada angka khusus yang diberikan untuk pelajar bumiputera bukan Melayu.

Perangkaan yang diberikan juga menunjukkan sebahagian besar pelajar di sekolah swasta adalah kaum Cina.

“Pecahan penyertaan terbesar untuk tahun 2020 adalah dari kaum Cina, iaitu 65.88 peratus, diikuti kaum Melayu termasuk bumiputera Sabah dan Sarawak sebanyak 26.96 peratus dan India sebanyak 4.00 peratus dan lain-lain kaum sebanyak 3.17 peratus.

“Penyertaan murid kaum Melayu menunjukkan peningkatan sebanyak 0.65 peratus manakala kaum Cina menunjukkan penurunan 0.44 peratus dan kaum India menurun sebanyak berbanding tahun 2019,” kata kementerian.

Data juga mendapati sekolah jenis kebangsaan Cina atau SJKC menjadi semakin popular di kalangan ibu bapa bukan Cina sepanjang sedekad yang lalu, terutamanya di kalangan ibu bapa Melayu.

Pendaftaran pelajar Melayu di SJKC melonjak 6.18 peratus dari 2010 hingga 2020. Mereka kini merangkumi sekitar 15 peratus pelajar di SJKC di seluruh negara.

Pendaftaran pelajar India pula meningkat 1.08 peratus, dan pelajar "kaum lain"turut meningkat 0.65 peratus berbanding 10 tahun yang lalu.

Trend di sekolah jenis kebangsaan Tamil atau SJKT tidak banyak berubah sepanjang 10 tahun terakhir, kata kementerian itu.

Sekolah-sekolah berkenaan hampir secara eksklusif (99 peratus) dihadiri oleh pelajar kaum India.