Skip to main
Logo Malaysiakini

Bekas presiden Umany didakwa esok

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Bekas presiden Persatuan Pemuda Baru Universiti Malaya (Umany), Wong Yan Ke akan didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya esok.

Wong mengesahkan perkara itu ketika dihubungi Malaysiakini petang ini.

"Penjamin saya yang menandatangani dokumen ketika saya dibebaskan dengan jaminan polis menerima panggilan daripada polis, yang memaklumkan kepadanya bahawa saya akan didakwa esok," katanya.

Menurut Wong, dia akan didakwa di bawah seksyen 188 Kanun Keseksaan, iaitu mengingkari perintah yang diisytiharkan penjawat awam.

Timbalan Pengarah Siasatan dan Perundangan Jabatan Siasatan Jenayah, DCP Mior Rafidalathrash Wahid dalam kiriman pesanan teks kepada Malaysiakini mengesahkan Wong akan didakwa esok. 

Wong ditahan pada 7 Nov ketika polis menggeledah rumah Presiden Umany,  Yap Wen Qing berhubung artikel yang diterbitkan oleh persatuan itu mengenai peranan Yang di-Pertuan Agong.

Peguamnya Chong Kar Yan, yang berada di tempat kejadian, berkata anak guamnya itu ditahan kerana cuba merakam video anggota polis ketika kejadian.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Nik Ezanee Mohd Faisal sebelum ini memberitahu Wong ditahan kerana menghalang tugas penjawat awam.

Sementara itu, polis sedang menyiasat Umany di bawah Akta Hasutan dan juga Akta Komunikasi dan Multimedia berhubung artikel itu, yang menyaksikan banyak laporan dibuat terhadap persatuan tersebut.

Artikel pada 30 Oktober itu dikeluarkan susulan penolakan Agong atas permintaan kerajaan untuk mengisytiharkan darurat.

Seri Paduka dalam titah baginda turut menasihati semua anggota Parlimen agar menyokong Belanjawan 2021.

Umany berpendapat Agong "tidak boleh campur tangan dalam urusan negara, harus selalu mengekalkan sikap neutral dan memainkan peranan dalam kerangka yang dibenarkan oleh perlembagaan".

Bagaimanapun dalam hantaran Facebook hari ini, persatuan itu menarik balik artikel itu dan memohon maaf kepada Seri Paduka.